Indahnya Hidup Bersyariah tangkis persepsi negatif perkasa syariah

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Karnival Indahnya Hidup Bersyariah merupakan sebahagian daripada kempen pendidikan jangka panjang kerajaan negeri dalam menangkis persepsi negatif terhadap pelaksanaan syariah di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah, dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pendekatan mendidik secara berterusan ini diambil untuk menghapuskan salah faham yang timbul akibat kekurangan pengetahuan mengenai syariah.

“Beberapa minggu lalu Terengganu diserang dari segenap penjuru berkenaan pemerkasaan syariah dan kebersamaan kerajaan serta rakyatnya dengan alim ulama.

- Advertisement -

“Terengganu dituduh ‘merendahkan martabat dan mengongkong wanita’ dek kerana larangan terhadap perempuan muslim menyertai acara sukan terjun di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang diketahui umum tidak selaras dengan kehendak Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khalil berkata, terbaru, murabbi sejuta ummah, Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang menyokong kuat agenda pemerkasaan syariah Terengganu turut diserang di platform media sosial.

“Di sebalik serangan itu, saya merasa hairan apabila usaha memartabatkan syiar Islam dipandang serong dan digambarkan sebagai ‘mundur’ oleh sesetengah pihak di media sosial,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Batu Buruk itu berkata, tuduhan tersebut mungkin disebabkan mereka masih belum memahami dan merasai sendiri kemanisan hidup bersyariat.

“Saya mempersilakan seluruh rakyat Terengganu, Malaysia dan mereka yang sangsi dengan Islam untuk hadir ke Karnival Indahnya Hidup Bersyariat untuk memahaminya dengan lebih dekat,” ujarnya.

Karnival Indahnya Hidup Bersyariah bakal berlangsung di Stadium Nasiruddin Shah, di sini bermula hari ini hingga esok.

Karnival yang akan berlangsung selama dua hari itu bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup berlandaskan syariat Islam secara besar-besaran. – HARAKAHDAILY 5/9/2024

- Advertisement -