
KOTA BHARU: Kerajaan Madani dianggap mengamalkan sentimen politik yang tebal terhadap ahli parlimen pembangkang apabila masih berdolak dalih bagi memberi peruntukan kepada mereka.
Malah kerajaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengemukakan tujuh syarat bagi mendapat peruntukan termasuk memberi sokongan kepada kerajaan PH-BN sehingga pembubaran parlimen.
Selain itu pembangkang tidak boleh menyentuh isu 3R dan ahli parlimen pembangkang dikehendaki mengisytihar harta.
Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Abdul Rahman Yunus (foto atas) berkata, menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira wakil rakyat kerajaan atau pembangkang.
Menurutnya, kerajaan perlu bersikap adil dan telus bagi mengagihkan peruntukan seperti dilakukan kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) yang memberi peruntukan kepada semua wakil rakyat.
“Bila dipilih jadi wakil rakyat peruntukan perlu diberi. Peruntukan diberi tanpa sebarang syarat. Kita nampak kerajaan Madani terlalu politiking.
“Kalau diberi peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, imej kerajaan semakin baik di mata rakyat dan ia dapat mencermin benar-benar ada semangat madani,” katanya yang juga Pengerusi Kelab BBC Kelantan di sini.
Polemik peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang berlarutan hampir dua tahun. Malah 7 Mac lepas Perdana Menteri memberitahu di Dewan Rakyat pada prinsipnya kerajaan setuju.
Selepas isu itu tersebut berlarutan dalam tempoh begitu lama kerajaan Madani mengemukakan pula draf MoU dengan mengenakan tujuh syarat.
Syarat ditetapkan kerajaan Madani berbeza jauh berbanding ketika era kerajaan Perikatan Nasional antaranya setuju tidak bubar parlimen sebelum 31 Julai 2022.
Selain itu kerajaan hendaklah berusaha melaksanakan setiap transformasi yang dicadangkan dan dipersetujuai kedua-dua pihak, PH hendaklah menyokong atau berkecuali undi Belanjawan 2022 dan PH hendaklah menyokong atau berkecuali dalam meluluskan apa-apa usul kerajaan atau RUU. – HARAKAHDAILY 5/9/2024











