
KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim (KDN) FC mengesahkan perpindahan masuk penyerang antarabangsa Myanmar, Aung Kaung Mann, 26 bagi menghadapi musim kedua Liga Malaysia 2024/25.
Aung Kaung menandatangani kontrak sehingga Mei 2025 selepas bersetuju dengan terma serta syarat pasukan Sang Kijang Emas.
Karier Aung Kaung bermula pada 2018 selepas mendapat kontrak senior beraksi dengan pasukan utama Ayeyawady FC.
Prestasi yang cemerlang membolehkan pemain itu berhijrah ke Thailand dan memenangi kejuaraan Liga Thailand 3 pada 2020 bersama Khon Khaet FC.
Selepas itu, beberapa pasukan disertainya termasuk kelab Divisi 1, Chonburi FC pada sesi 2022/23.
Musim lalu Aung membantu Nakhonratchasima Mazda FC muncul juara Liga Thailand 2, namun memilih keluar sebaik musim berakhir.
Pemain kelahiran Taungdwingyi menyertai skuad Myanmar pada usia 20 tahun sehingga berjaya mengumpul 37 caps dan 18 gol buat negaranya.
Beliau juga membantu skuad bola sepak Myanmar memenangi naib juara Sukan SEA 2015 dan ketiga pada tahun 2019.
Sementara itu, Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, perpindahan masuk Aung Kaung Mann sebagai sasaran utama untuk menajamkan jentera serangan KDN FC.
“Kami teruja untuk melihat sejauh mana impak positif yang akan dilakukan pemain terbabit. Kami berusaha memperbaiki kelemahan seterusnya cuba meraih kejayaan pada baki perlawanan Liga Super,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/9/2024











