Tiga perkara boleh dipelajari daripada Khairul Aming

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kejayaan Khairul Aming baru-baru ini mendapat liputan meluas apabila beliau dikunjungi oleh Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andasura Rabu menyifatkan kunjungan itu satu pencapaian yang sangat luar biasa dan memberikan inspirasi.

“Beliau (Khairul Aming) seorang pempengaruh yang betul-betul berpengaruh dan memiliki sensasi tersendiri.

“Saya tertarik dengan hantaran ringkas beliau semalam. Saya petik satu bahagian: ‘Lapan tahun lepas, saya rakam video masakan pertama saya sambil duduk di atas lantai. Hari ini, saya diberi keistimewaan untuk duduk semeja dengan Perdana Menteri sebuah negara terkenal. Terus bekerja keras, awak akan kagum di mana awak akan berada.’,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Kata beliau, tiga perkara yang boleh dipelajari daripada Khairul Aming iaitu kegigihan, bersederhana dan menghargai.

Kegigihan

Mengulas lanjut, kata beliau, alam tempoh 10 tahun ke belakang, Khairul Aming pernah mengalami beberapa kali kegagalan dalam perniagaan.

“Kegagalan paling besar sekitar 6 tahun lepas. Waktu itu beliau sudah buat video masakan, tapi bukan guna nama Khairul Aming. Beliau guna jenama Rasapop.

“Apabila mendapat sambutan baik dan mendapat jumlah pengikut yang ramai, beliau keluarkan produk sambal sendiri menggunakan jenama Sambal King. Berpuluh ribu dia belanjakan untuk pengeluaran dan pemasaran produk tersebut. Namun gagal.

“Banyak faktor kegagalannya seperti yang diceritakan. Beliau tidak berputus asa dan bermula semula. Beliau teruskan membuat video masakan namun menggunakan nama sebenar, Khairul Aming.

“Saya difahamkan beliau mengambil masa hampir 4 tahun membina nama dan pengaruhnya. Sehinggalah beliau akhirnya mengeluarkan semula produk sambal sendiri menggunakan jenama Sambal Nyet,” katanya.

Katanya lagi, Khairul Aming banyak belajar daripada kelemahan-kelemahan terdahulu dengan membuat penyelidikan dan penambahbaikan sebelum betul-betul memasuki pasaran.

“Hasilnya beliau berjaya membuat jualan bernilai RM 1 juta dalam tempoh kurang 4 bulan. Sambutan yang baik mendorong beliau untuk membuka menambah kilang kedua di Kelantan bagi memenuhi permintaan.

“Tahun lepas, nilai jualan Sambal Nyet mencecah sehingga RM20 juta. Sungguhpun begitu, beliau tidak tergesa-gesa mengeluarkan produk kedua.

“Beliau mengambil masa kira-kira setahun membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum memperkenalkan produk kedua iaitu Dendeng Nyet,” ujarnya.

Bersederhana

Andasura berkata, Khairul Aming berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal daripada sebuah universiti di Amerika Syarikat.

Beliau pernah bekerja dalam bidang minyak dan gas serta bidang logistik sebelum berjinak-jinak dengan perniagaan secara sambilan, seterusnya secara sepenuh masa.

“Khairul Aming mengekalkan personaliti yang bersederhana walaupun memiliki reputasi tinggi dalam bidang beliau sekarang.

“Setakat yang saya baca penulisan atau komen-komen tentang beliau, semuanya positif. Beliau tidak meninggi diri, menjaga penampilan, keperibadian dan tutur kata terutama dlm saluran-saluran media sosial yang beliau aktif. Baik dari segi penulisan mahupun komunikasi lisan.

“Beliau juga sentiasa memberikan mesej-mesej yang baik. Antara yang diingati ketika berada di pentas anugerah TikTok pada tahun lalu dan tahun ini. Mesej beliau wajar diambil panduan oleh para pengkarya dan pengikut di media-media sosial,” katanya.

Menghargai

Satu lagi sifat yang dikagumi Andasura ialah sikap menghargai Khairul Aming terhadap pekerja.

“Khairul Aming tahu kejayaan tidak dapat dikecapi seorang diri tanpa sokongan dan dokongan mereka yang bekerja dengan beliau.

“Kerana itu beliau memberikan penghargaan terbaik kepada para pekerjanya. Ini termasuk memberi bonus pada hari raya dan menanggung perbelanjaan membawa mereka bercuti.

“Ia bukan rahsia kerana beliau memuatnaik apa-apa bentuk penghargaan yang diberikan kepada para pekerja beliau di media sosial,” katanya.

Menurut Andasura, pencapaian Khairul Aming bukan sahaja mengagumkan malah sangat membanggakan.

“Beliau seorang anak muda yang terpelajar, gigih dan fokus dalam bidang beliau serta disenangi ramai khususnya di kalangan para pengguna media sosial.

“Beliau mencipta sensasi tanpa kontroversi. Beliau terkenal kerana kebolehan, kejayaan dan personaliti beliau. Saya yakin ada lagi nilai-nilai lain yang boleh kita kutip daripada individu bernama Khairul Aming ini dan jadikan inspirasi dan motivasi khususnya kepada generasi muda.

“Saya rasa ramai yang setuju jika beliau diangkat menjadi salah seorang ikon belia negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/9/2024

- Advertisement -