
BALING: Kesusahan seorang warga kurang upaya (OKU) Ahmad Sanusi Arjahat, 34, dan keluarganya, sebelum ini telah mendapat perhatian ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria.
Mansor ketika dihubungi Harakahdaily memaklumkan, banyak pihak telah turun memberi bantuan sama ada dari Pusat Khidmat Wakil Rakyatnya (PKWR), kariah kampung, masjid dan pihak zakat.
“Pihak PKWR DUN Kuala Ketil pun memang sentiasa bantu seperti pek makanan dan lain-lain. Nama beliau pun ada dalam rekod penerima. Kali terakhir dia terima sumbangan pada Jun lalu.
“Beliau ini juga salah seorang penerima ‘food bank’ zakat Masjid Tembak,” jelas memaklumkan turut telah meluluskan bantuan membaiki rumah kediaman keluarga tersebut.
Menurut Mansor, Ahmad Sanusi sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,400 sebulan, namun kehilangan kerja apabila tempatnya bekerja menutup operasi kerana mengalami kerugian.
“Pihak zakat ada juga sumbang peralatan perniagaan kepada isterinya tetapi setakat ini mereka belum memulakan perniagaan lagi,” jelas beliau.
Terdahulu, kisah ayah kepada lima anak itu disiarkan media dan memohon agar orang ramai turut membantu kesusahan yang ditanggung oleh keluarga tersebut.
Ahmad Sanusi, dikatakan buntu memikirkan masa depan isteri serta lima orang anak-anaknya, selepas kehilangan punca rezeki sejak lima bulan lalu.
Malah, keluarga tersebut juga mendakwa berdepan situasi menyebabkan mereka putus belanja dan bekalan elektrik dan air terpaksa dipotong kerana gagal membayarnya.
Dalam pada itu beliau mengakui menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan, namun tidak mencukupi untuk menampung kos kehidupan yang meningkat.
Sementara itu, kata Mansor, beliau difahamkan kisah Ahmad Sanusi yang disiarkan media, adalah atas kehendak diri sendiri bukan desakan mana-mana pihak.
Oleh itu beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, memaklumkan, pihaknya telah menghubungi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan JKM.
Pihak-pihak berkenaan katanya akan hadir ke rumah Ahmad Sanusi, meninjau keadaan sebenar yang dialami oleh keluarga berkenaan. – HARAKAHDAILY 4/9/2024











