
NABI Ibrahim dianggap sebagai Abu Al-Anbiya iaitu bapa bagi segala nabi. Nabi-nabi berbangsa Arab semuanya datang daripadanya. Anaknya yang bernama Ismail diletakkan di Makkah. Daripada keturunan Nabi Ismail, maka lahirlah Nabi Muhammad SAW. Baginda membawa agama Islam.
Melalui Nabi Yaakub, lahirlah dua belas orang anak. Daripada keturunannya, lahirlah Nabi-nabi daripada kalangan Bani Israel. Mereka membawa dua agama yang besar iaitu Kristian dan Yahudi.
Tiga agama besar yang dipanggil sebagai agama langit atau agama Samawi datang daripada Nabi Ibrahim. Baginda lahir di Kan’an. Ayahnya yang bernama Azar bekerja sebagai tukang ukir dan penjual berhala. Baginda berbahas dengan ayahnya kerana ayahnya tidak beriman. Sehingga akhirnya baginda membawa diri.
Baginda berdepan dengan Raja Namrud dan akhirnya raja kalah. Baginda berkahwin dua kerana isteri pertamanya iaitu Sarah tidak dapat melahirkan anak. Isteri keduanya ialah Hajar dan memperoleh anak yang bernama Ismail.
Sarah berasa tidak selesa kerana baginda memberi perhatian yang lebih kepada Hajar dan anaknya Ismail. Dia menzahirkan perasaannya dan kalau boleh tidak mahu tinggal bersama dengan mereka. Sesuai dengan perancangan Allah, baginda membawa Hajar dan Ismail ke Makkah.
Disebut dalam permulaan ayat, baginda diuji oleh Allah dengan beberapa kalimah. Kata ulama, antara ujiannya adalah tidak memperoleh anak pada peringkat awalnya, berdepan dengan raja sehingga dicampakkan ke dalam api dan menerima perintah Allah untuk menyembelih anaknya.
Ujian-ujian yang diberikan kepadanya adalah untuk melihat kekuatan iman dan kepatuhannya kepada Allah SWT. Semasa umur Ismail meningkat dewasa, ibunya Hajar sudah pun meninggal dunia. Nabi Ibrahim datang dari Palestin dan pergi ke Makkah untuk berjumpa dengan anaknya.
Nabi Ismail merupakan seorang yang cekap memburu dan mahir dalam memanah. Dalam riwayat menyebut, (Rujuk Riwayat Imam Muslim: 2899), baginda hebat dalam memanah dan boleh memanah sambil menunggang kuda. Tepat panahannya. Semasa kuda tengah berlari, baginda boleh turun dan naik semula ke atas kuda tersebut. Inilah kehebatannya. – HARAKAHDAILY 4/9/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















