
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melahirkan rasa bangga di atas kejayaan anak jati negeri itu Khairul Aming, 32, mengharumkan nama negeri sehingga ke peringkat antarabangsa.
Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, beliau melahirkan rasa teruja dengan kejayaan Khairul sehingga video memasak di New Zealand menarik perhatian pemimpin negara terbabit.
Menurutnya perhatian yang diberikan Christopher Luxon itu sebagai bukti kehebatan bakat anak tempatan.
“Kejayaan itu menjadi inspirasi kepada kita semua, terutama golongan muda.
“Ia mengajar kita hasil kesungguhan dan kerja keras, kita mampu mencapai impian. Marilah kita terus memberi sokongan kepada KA dan semua anak Kelantan yang cemerlang dalam apa jua bidang,” katanya pada catatan di Facebooknya hari ini.
Khairul yang juga pempengaruh dan usahawan popular dikunjungi Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon di sebuah restoran di ibu kota baru-baru ini.
Pertemuan itu sebagai tanda penghargaan kerajaan New Zealand kerana memaparkan video percutian sambil memasak di negara berkenaan baru-baru ini.
Sepanjang beberapa hari berada di New Zealand Khairul memperkenalkan sarapan Malaysia sambil bertukar pendapat mengenai pelancongan antara Malaysia dan New Zealand.
Pada masa yang sama anak kelahiran Kota Bharu itu turut menyentuh soal perdagangan eksport daging, tenusu halal, pemeliharaan alam semula jadi dan potensi eksport produk perusahaan kecil sederhana tempatan ke New Zealand.
Sehubungan itu Mohd Nassuruddin berharap anak Kelantan meneruskan kreativiti masing-masing dengan meneroka peluang baharu. – HARAKAHDAILY 4/9/2024











