Muslimat PAS Perlis sambut baik tutup seketika pasar malam

Nor Shahirah Mat Salleh
- Advertisement -

KANGAR: Penutupan operasi pasar malam ketika waktu Maghrib di negeri ini memberi gambaran keindahan Islam.

Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis menyambut baik inisiatif itu selaras dengan Kempen Hayya Ala-Solah.

Ketuanya, Nor Shahirah Mat Salleh berkata, tindakan itu akan akan memudahkan urusan solat bagi umat Islam.

- Advertisement -

“Kita berpandangan bahawa pelaksanaan itu bukan sahaja memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung pasar malam yang beragama Islam, tetapi juga mampu memberikan gambaran kepada masyarakat umum betapa Islam itu agama yang mudah dan indah,” katanya.

Ini susulan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil hari berkata, Program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’ akan diperkenalkan sebagai langkah memperkasakan kempen Hayya Ala-Solah di seluruh negeri mulai 15 September ini.

Inisiatif itu diwujudkan bagi menggalakkan peniaga dan pengunjung pasar malam untuk menunaikan solat Maghrib pada awal waktu tanpa tergesa-gesa.

Menurutnya, tempoh pelaksanaan program bermula 10 minit sebelum masuk waktu dan 10 minit selepas masuk waktu Maghrib bagi membolehkan para peniaga dan pengunjung untuk menunaikan solat dalam keadaan selesa dan tidak tergesa-gesa.

“Inisiatif ini bertujuan mendidik masyarakat agar tidak melengah-lengahkan solat dan menjadikan amalan solat pada awal waktu sebagai keutamaan,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun program demikian diwajibkan kepada peniaga beragama Islam, peniaga bukan Islam turut digalakkan untuk menghentikan operasi mereka sepanjang tempoh tersebut, namun mereka tidak diwajibkan untuk berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Nor Shahirah turut menekankan bahawa program tersebut selari dengan perintah Allah SWT, yang menghendaki setiap individu Muslim memelihara kewajiban menunaikan solat mengikut waktu yang ditetapkan.

 Sehubungan itu, pihaknya menyeru seluruh rakyat, khususnya umat Islam di negeri ini untuk menyokong dan bersama-sama menjayakan program itu.

“Justeru, kita menyeru seluruh rakyat khasnya yang beragama Islam di negeri ini, supaya dapat bersama-sama dengan kerajaan negeri untuk menjayakan program ini agar negeri Perlis yang kita cintai ini terus makmur dan mendapat keberkatan serta rahmat daripada Allah SWT,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 4/9/2024

- Advertisement -