
HANG TUAH JAYA: Umno Singapura pernah gagal pada Pilihan Raya Umum pada tahun 1963 untuk mempertahankan kerusi dimenangi kesan daripada polisi pembaharuan bandar yang dilaksanakan People Action Party (PAP) di pulau itu.
Mantan Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, parti itu berjaya memenangi tiga kerusi pada pilihan raya sebelumnya iaitu pada tahun 1959.
“Umno boleh menang tiga kerusi di Singapura sebab apa? Sebab ada kawasan-kawasan Melayu di Singapura di antaranya di Pulau Selatan, kalau tak silap saya di Gelang Serai, di Ulu Beduk, ada beberapa kerusi.
“Tetapi akibat daripada tindakan kerajaan (Singapura) ketika itu yang memecahkan kawasan-kawasan di mana orang Melayu tinggal, akhirnya tidak ada lagi kawasan majoriti orang Melayu,” katanya.
Kata beliau, Singapura mengamalkan satu polisi iaitu ‘Etnic Integration Programme’ (EIP) dengan objektif mewujudkan kawasan campuran di mana akhirnya menyebabkan tidak ada satu pun kawasan majoriti Melayu yang tinggal.
“Tetapi sebenarnya berdasarkan kepada EIP ini, orang Melayu tidak lebih daripada 28 peratus di dalam sesuatu kawasan. Maknanya ada satu projek bawah Housing Development Board (HDP).
“Kalau kawasan tersebut orang Melayu nak beli rumah, kalau di situ dah 28 peratus orang Melayu di situ, (ada lagi) orang Melayu nak beli tak boleh. Maksimum 28 peratus sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan kertas kerja Seminar Penerangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di Dewan Mua’alim Tuan Guru Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, di sini malam tadi.
Seminar diadakan bagi memberi penerangan mengenai akta tersebut di mana bakal dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dibimbangi akan mengancam golongan Melayu bandar.
Kata Iskandar lagi, di Malaysia sebaliknya, golongan bukan Melayu sering mempertikaikan kuota sebegitu yang diwujudkan di sesetengah tempat dan menganggapnya sebagai tidak adil.
“Di sesetengah tempat macam di Shah Alam mungkin 70 peratus. Ada yang kata ‘macam mana ni? Tak adil’. Tetapi sebenarnya di Singapura ada kuota. Kuota yang mengehadkan orang Melayu.
“Akibat daripada itu tak ada tempat orang Melayu majoriti. Jadi bermakna asalnya apa? Asalnya adalah pembangunan semula bandar yang dilakukan di Singapura,” katanya.

Jelas beliau, perkara yang sama telah berlaku sedikit demi sedikit di Malaysia dengan pembentangan URA tersebut, selain manipulasi oleh pihak pemaju dan kegagalan pentadbir yang mentadbir urusan itu.
“Saya rasa masalah pembangunan semula ni sebenarnya bukan Perikatan Nasional sahaja, bukan PAS, BERSATU sahaja yang patut bimbang. Tetapi Umno pun patut bimbang. Umno pun juga akan hilang kerusi,” katanya.
Kerana itu, jelas beliau, semua orang Melayu tidak kira dari parti mana pun harus bersatu hati dalam memastikan kandungan akta akan dibentangkan itu tidak mengandungi terma-terma merugikan orang-orang Melayu terutama yang tinggal di bandar.
Program anjuran Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat itu dirasmikan pengerusinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.
Turut berucap di dalam seminar tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail yang juga Ahli Parlimen Jasin.
Selain Iskandar, turut membentangkan kertas kerja ialah Penyelidik, Penulis dan Ahli Persatuan Arkeologi Malaysia, Zaharan Sulaiman.
Sementara Sr Mohd Safiee Junun yang merupakan mantan Pegawai Teknikal Kanan di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Selangor Darul Ehsan bertindak sebagai moderator.
Turut hadir ialah Pengerusi Perikatan Nasional Melaka yang juga ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.
Juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.
Peserta seminar meliputi pimpinan-pimpinan PAS, BERSATU dan beberapa NGO berkaitan, di mana ahli-ahli Umno turut dijemput di dalam seminar itu. – HARAKAHDAILY 4/9/2024












