Sokongan kuat ibu bapa bawa kejayaan pesilat Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: Sokongan kuat ibu bapa membawa kejayaan kepada dua beradik dari Seberang Balok pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, baru-baru ini.

Begitulah yang berlaku kepada Raden Sabry dan adiknya, Ayu Rahmah yang mewakili Pahang bagi acara pencak silat.

Raden Sabry memenangi pingat perak bagi Kategori E Lelaki manakala adiknya Ayu Rahmah menang pingat emas bagi Ketegori A Wanita.

- Advertisement -

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu menziarahi mereka, kelmarin untuk menyampaikan ucapan tahniah dan cenderahati sebagai tanda bangga dan penghargaan atas pencapaian mereka. (Foto atas)

Namun, katanya hanya Raden Sabry sahaja yang ada manakala adiknya menghadiri pembelajaran di kampus.

“Rupanya bukan mereka berdua sahaja aktif dalam sukan silat tetapi kakak dan adik mereka pun sama.

“Mereka empat beradik diberi segenap bimbingan dan galakan oleh bapa mereka Mohd Insan dalam sukan silat,” katanya dalam catatan di laman sosialnya, hari ini.

Beliau difahamkan adik mereka sedang dipersiapkan supaya mampu menjejak langkah abang dan kakaknya.

Menurutnya, selain belajar dan berlatih di gelanggang silat di Balok Perdana, mereka juga disediakan kemudahan oleh bapa untuk berlatih di rumah.

Malah, ujarnya bapa mereka memastikan mereka menjalani latihan kecergasan sendiri dan mengawal pemakanan.

“Apabila ibu bapa memberikan sokongan dan bimbingan yang baik kepada anak-anak, insya Allah ia akan membuahkan hasil.

“Bukan sahaja di bidang sukan, malah juga dalam bidang-bidang lain seperti pembelajaran, kemahiran dan keagamaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Raden Sabry dan Ayu Rahmah atas kemenangan pada SUKMA itu teristimewa buat kedua ibu bapa yang memberikan sokongan sepenuhnya.

“Selamat maju jaya kepada kesemua empat beradik tersebut. Semoga berjaya mencapai apa yang dicita-cita dan diusahakan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 31/8/2024

- Advertisement -