Nabi Sulaiman diberi mukjizat, bukan sihir

- Advertisement -

ALLAH ingin menjelaskan kembali kisah yang menuduh Nabi Sulaiman mengamalkan sihir. Sebenarnya, keupayaan Nabi Sulaiman untuk terbang dan sebagainya adalah mukjizat, bukan sihir.

Sebagai seorang Nabi, Allah telah memberikan mukjizat kepadanya. Baginda juga dianugerahi kemampuan untuk berbicara dengan binatang dan memahami bahasa mereka, termasuk burung, semut, dan lain-lain.

- Advertisement -

Dalam satu surah lain, diceritakan ketika Nabi Sulaiman memimpin tenteranya yang beribu-ribu orang untuk berperang, mereka melalui sebuah lembah semut.

Ratunya berkata:

‎يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
Maksudnya: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.” (Surah An-Naml: 18)

Semut-semut ini dapat merasakan bahaya yang akan datang. Contohnya, sebelum tsunami berlaku, banyak haiwan naik ke bukit untuk menyelamatkan diri kerana mereka merasai gegaran. Allah memberikan naluri ini kepada mereka.

Nabi Sulaiman mendengar percakapan ratu semut tersebut dan tersenyum:

‎فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا
Maksudnya: “Lalu Sulaiman tersenyum.” (Rujuk Surah An-Naml: 19).

Baginda kemudian mengarahkan tenteranya berhenti untuk memberi laluan kepada semut-semut masuk ke dalam lubangnya.

Dalam kejadian lain, baginda berinteraksi dengan burung. Apabila burungnya hilang dan kemudian muncul semula, Nabi Sulaiman memintanya menjelaskan ke mana ia pergi.

Burung itu menjawab:
‎فَقَالَ أَحَطتُ بِمَا لَمْ تُحِطْ بِهِ وَجِئْتُكَ مِن سَبَإٍ بِنَبَإٍ يَقِينٍ
Maksudnya: “Aku datang dari Saba’ (suatu tempat yang jauh) dengan satu berita.” Ia menceritakan tentang Ratu Balqis. (Rujuk Surah An-Naml: 22).

Semua ini adalah mukjizat Allah, bukan sihir. Cerita ini dibentangkan dengan panjang lebar dalam surah An-Naml. Nabi Sulaiman adalah seorang raja yang lebih hebat daripada ayahnya, Nabi Daud.

Menurut ulama, ayat 102 Surah Al-Baqarah diturunkan untuk menjawab tuduhan bahawa Nabi Sulaiman mengamalkan sihir. Sebenarnya, perkara-perkara luar biasa yang dilakukannya adalah mukjizat Allah kerana sihir diharamkan dalam Islam.

Di Babylon, keadaan menjadi huru-hara kerana sihir yang terlalu banyak dipraktikkan. Pada zaman itu, Nabi sudah tiada. Kata ulama, Allah menurunkan dua malaikat untuk memperbetulkan masyarakat dan menarik perhatian mereka supaya kembali kepada Allah.

Malaikat ini mengajar mereka ilmu untuk mempertahankan diri daripada sihir, tetapi memberi amaran bahawa ilmu ini boleh membawa kepada kufur jika disalahgunakan (Rujuk Surah Al-Baqarah: 102).

‎وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ

Malaikat mengingatkan bahawa mempelajari ilmu ghaib boleh membawa kepada kebaikan atau keburukan, bergantung pada niat dan penggunaannya. Contohnya, seseorang boleh menggunakan ilmu ghaib untuk mencuri atau melakukan kejahatan lain.

Oleh itu, walaupun suatu ilmu itu asalnya baik, ia boleh membawa kepada kejahatan jika disalahgunakan. – HARAKAHDAILY 31/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -