Sambutan di Kedah meriah, penuh warna-warni

Hari Kebangsaan 2024 Kali Ke-67

- Advertisement -

ALOR SETAR: Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Kali Ke-67 Peringkat Negeri Kedah telah berlangsung penuh warna-warni dengan kehadiran lebih 35,000 rakyat di Dataran Medan Bandar, di sini hari ini.

- Advertisement -

Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat menyaksikan perbarisan dan perarakan sempena majlis.

Turut berangkat adalah Raja Muda, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Puan Raja Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta Raja Mahkota, Tengku Shazuddin Sultan Sallehuddin dan Puan Raja Mahkota Nur Julie Ariff.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali dan isteri, Datin Seri Norhasni Ishak.

Acara dimulakan dengan Sultan Sallehuddin menerima tabik hormat daripada pasukan Kawalan Kehormatan Utama Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu DiRaja sebelum membuat pemeriksaan perbarisan.

Sementara perarakan melibatkan 142 kontinjen dengan 5,000 peserta membabitkan jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, badan berkanun, pihak swasta, sekolah, institusi pengajian tinggi, pasukan beruniform dan badan bukan kerajaan (NGO).

Paling menarik perhatian adalah pertunjukan udara pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) yang berlegar di udara sekitar 15 minit dengan kelajuan 600 kilometer sejam di ketinggian 304 meter.

Pesawat yang usai pertunjukan dari Sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya itu didatangkan khas ke ruang udara Kedah buat julung-julung kali dengan diketuai Pegawai Pemerintah No 18 Skuadron, Leftenan Kolonel Faizal Rahim dalam formasi Echelon.

Pertandingan perarakan dan perbarisan menyaksikan pasukan pancaragam Kadet Bersatu Kolej Sultan Abdul Hamid sebagai juara keseluruhan membawa pulang wang tunai RM3,000 serta piala iringan.

Turut merangkul kemenangan dalam kategori lain adalah Kadet Polis Sekolah Menengah Sultanah Asma, Persatuan Bekas Rejimen Askar Melayu DiRaja, Jabatan Penjara Kedah, Majlis Daerah Bandar Baharu, Majlis Daerah Yan dan Alternative Riding Club (ARC) Kedah. – HARAKAHDAILY 31/8/2024

- Advertisement -