Peranan anak jaga ibu bapa di usia tua mereka kelak

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ibu bapa dinasihatkan supaya mengingatkan anak-anak mereka berkenaan tanggungjawab terhadap kedua orang tua mereka apabila sudah dewasa nanti.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Dr Izani Husin pada masa yang sama mengingatkan mereka supaya mendidik anak-anak dengan kasih sayang agar kasih sayang juga menjadi balasannya.

Menurutnya, peranan ibu bapa paling utama dalam membina keluarga sakinah, mawaddah dan rahmat.

“Apabila ibu bapa bersifat harmoni dan penuh kasih sewaktu mendidik anak-anak, mereka juga akan merasa kasih yang sama pada ibu dan ayah mereka.

“Bila kita tua nanti dan ditakdirkan panjang umur, anak-anak akan menjaga ibu bapa mereka dengan penuh kasih juga dan bukannya kerana terpaksa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian zakat kepada penerima dalam DUN Kijang, yang diadakan di pejabat berkenaan dekat sini kelmarin.

Menurutnya, bila seseorang itu sudah tua, biarpun mempunyai harta, namun kudrat tidak lagi sama seperti sewaktu muda dahulu.

Tambahnya, ketika ini perlunya anak-anak serta keluarga di sisi untuk menjaga diri yang semakin tua.

Pada masa yang sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu juga turut mengingatkan anak-anak supaya menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk menjaga kedua orang tua sebaik mungkin.

Menurutnya, apabila mereka semakin meningkat usia, kudrat, ingatan sudah tidak seperti dahulu lagi. – HARAKAHDAILY 28/8/2024

- Advertisement -