
SEREMBAN: Mangsa kemalangan akibat anjing liar yang berlaku di Taman Bandar Senawang, di sini baru-baru ini meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan kerajaan negeri dalam menangani isu tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Kamarol Ridzuan Md Zain berkata, perkara itu dinyatakan mangsa, Mohd Ridzuan Zainudin, 47, sewaktu beliau menziarahinya di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) kelmarin.
“Mangsa meluahkan rasa kecewa dengan masalah anjing liar yang masih kelihatan banyak di sekitar Seremban sehingga boleh berlaku perkara seperti ini.
“Sedangkan Seremban ini dah dinaiktarafkan kepada bandar raya. Tetapi perkara macam ini pun tak dapat diatasi,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika dihubungi semalam.
Beliau turut menzahirkan simpati terhadap mangsa kemalangan tersebut yang kini sedang menjalani rawatan di hospital akibat kemalangan itu.
“Saya telahpun membawa isu anjing liar ini sebanyak dua kali dalam sidang DUN Negeri Sembilan, namun masih lagi belum nampak apa-apa keberkesanan tindakan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) terhadap anjing-anjing liar ini,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan menggesa pihak MBS agar pertingkatkan pemantauan dan menjalankan operasi menangkap anjing-anjing tersebut.
“MBS tolonglah datangkan solusi yang berkesan bagi membendung isu-isu keselamatan melibatkan anjing liar terhadap penduduk sekitar Bandar Raya Seremban ni.
“Setakat ini saya belum nampak ada kesan terhadap tindakan pihak kerajaan dalam menangani isu anjing liar ni walaupun sudah banyak kali ia dibangkitkan,” katanya.
Kata beliau lagi, perkara itu perlu ditangani segera kerana ia melibatkan nyawa penduduk yang tidak berdosa akibat pembiakan anjing liar yang terlalu cepat.
Jelasnya, aduan yang disalurkan dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) terlalu banyak, namun penyelesaiannya masih tidak nampak dengan masalah tidak berkesudahan dan berlarutan lebih dari dua tahun.
Dalam kejadian yang berlaku pada Isnin minggu lepas itu, mangsa terjatuh motosikal di Taman Bandar Senawang akibat anjing liar yang tiba-tiba melompat ke arahnya.
Akibat dari kemalangan itu beliau yang merupakan pekerja pemasangan kren itu terpaksa dimasukkan besi dan mengambil masa untuk sembuh menyebabkan dia tidak dapat bekerja. – HARAKAHDAILY 28/8/2024











