
KUALA LUMPUR: Kerajaan PH-BN dilihat masih menggunakan Akta Hasutan lagi walaupun dahulunya sehingga terguling-guling atas jalan raya mengatakan akta tersebut adalah zalim, draconion law (undang-undang yang zalim dan kejam).
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Kelapan, Prof Madya Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, sehingga mereka mengatakan darjah kezaliman akta tersebut adalah nombor ‘wahid’ (satu).
“Dalam manifesto (PH), jelas berjanji nak hapus Akta Hasutan kerana ia zalim. Sekarang dah tak zalim,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.
Dalam pada itu menurut Marzuki, sebelum tentera siber PH-BN mengatakan ‘kalau zalim kenapa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tak hapuskan Akta Hasutan semasa dia jadi Menteri Dalam Negeri dulu?’
“Saya nak jawab ‘siang-siang’. Saya duduk dalam jawatankuasa mengkaji undang-undang zalim (dah tak ingat apa nama rasminya) semasa di Kementerian Dalam Negeri dulu.
“Anggotanya terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), AGC (Pejabat Peguam Negara), Majlis Peguam, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain,” jelas beliau.
Menurut Marzuki, terdapat enam undang-undang yang dikaji di mana Akta Hasutan adalah salah satu daripadanya.
“Sementara akta ini dalam kajian, ada dasar moratorium iaitu Akta Hasutan tidak digunakan untuk mendakwa sesiapa pun. Dasar (moratorium) ini dilaksanakan oleh PDRM dan AGC pada masa itu.
“Sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya membangkitkan soal perlembagaan. Soalan itu adalah ‘valid’ (sah). Tetapi dituduh di bawah Akta Hasutan. Siapa yang zalim?” persoal beliau. – HARAKAHDAILY 27/8/2024











