
ALOR SETAR: Syarat permohonan lesen perniagaan adalah tertakluk kepada Undang-undang Kecil Pelesenan Majlis termasuk pematuhan peraturan ditetapkan bagi memastikan tidak menjadi kacau ganggu kepada orang awam atau alam sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria menjelaskan demikian pada sesi soalan lisan sempena Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya sentiasa berusaha untuk membuka kawasan baharu perniagaan kepada peniaga kecil, tetapi tertakluk ke atas kesediaan tapak yang strategik dan peruntukan mencukupi.
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mendapati syarat-syarat permohonan lesen premis perniagaan sedia ada tidak membebankan pemohon.
“Selain tidak menjadi kacau ganggu kepada orang awam, syarat-syarat itu juga untuk memastikan perniagaan yang dijalankan juga selamat,”
Dalam pada itu kata beliau, kerajaan negeri juga bersedia memperuntukkan tapak-tapak tanah kerajaan yang strategik di kawasan bandar untuk dijadikan tapak penjaja.
Penjelasan itu bagi menjawab soalan lisan Bau Wong Ek (PH-Sidam) yang meminta agar syarat permohonan lesen perniagaan dilonggarkan selain mencadangkan agar kawasan perniagaan baharu dibuka khususnya kepada para peniaga kecil.
Dalam pada itu Mansor juga menjelaskan, setakat ini pembukaan kawasan perniagaan baharu khususnya yang dibenarkan oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) melibatkan 10 Medan Selera dan satu tiga tapak Laman Niaga.
Sementara berkaitan warga asing, kerajaan negeri melalui PBT komited dengan ketetapan tidak mengeluarkan sebarang lesen sama ada perniagaan kecil ataupun sederhana kepada mereka.
Ketetapan itu katanya, selaras dengan Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 3 (2008) berkaitan Pengeluaran Permit Perniagaan Kecil Oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
Iaitu hendaklah dikeluarkan kepada warga negara Malaysia sahaja dan pemilik permit juga perlu berada di tempat perniagaan sepanjang masa.
“Berdasarkan ketetapan itu tindakan membatalkan permit akan diambil ke atas warga negara Malaysia yang memindah milik permit perniagaan mereka kepada warga asing atau tidak menjalankan sendiri perniagaan tersebut.
“Walau bagaimanapun, PBT ada mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing yang telah mendaftar syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta melampirkan pasport yang sah dan visa dagang.
“Kategori lesen yang dikeluarkan adalah melibatkan aktiviti perniagaan dan perindustrian sahaja,” jelasnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dato’ Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Tokai) yang memohon pendirian dan tindakan kerajaan negeri berkaitan perniagaan dijalankan oleh warga asing di mana kini dilihat semakin berleluasa.
Dalam perkembangan itu, Mansor juga menjelaskan pihak MPSPK sebelum ini telah bertindak menjalankan operasi perobohan ke atas premis warga asing melibatkan sebuah premis pada tahun 2023 dan sebuah pada 2024. – HARAKAHDAILY 25/8/2024











