
ALOR SETAR: Tapak Arkeologi Sungai Batu dan Kompleks Arkeologi Pangkalan Bujang giat dinaik taraf untuk dijadikan sebagai tarikan pelancong dan keselesaan pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata demikian ketika menjawab soalan Sidang DUN di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Menurutnya, kerja menarik taraf itu dilaksanakan Jabatan Warisan Negara (JWN) melalui peruntukan geran Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Kementerian kewangan juga meluluskan sebanyak RM500,000 untuk projek naik taraf kemudahan parkir kenderaan di Tapak Arkeologi Sungai Batu di bawah Pelaksanaan Inisiatif Belanjawan 2024.
“Ia termasuk juga kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan,” ujarnya menjawab pertanyaan Teh Swee Long (PH-Kota Darul Aman) yang mengemukakan soalan berkaitan.
Teh dalam soalannya bertanya usaha diambil kerajaan negeri untuk membangun dan mempromosi Lembah Bujang yang dikaitkan dengan Kedah Tua sebagai kota penting dalam jalur perdagangan maritim Asia Tenggara sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Justeru kata Salleh, sejajar tapak warisan tersebut yang berpontensi diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia (UNESCO), kerajaan negeri juga telah memberi Geran Usahawan Pelancongan kepada Persatuan AncKed Sungai Batu bagi pembelian kontena untuk dijadikan pusat penerangan
dan pengoperasian kepada pelancong.
Selain itu ujarnya, kerajaan negeri juga telah mengambil beberapa langkah pendekatan untuk mempromosikan kawasan Lembah Bujang terutama menjelang TMK 2025.
Antaranya beritahu beliau, berkerjasama dengan Persatuan AncKed Sungai Batu dalam sesi pameran sempena Hari Pelancongan Malaysia-Selatan Thai pada 5 dan 6 Mac lalu di Hatyai, Thailand.
“Kerajaan negeri juga bekerjasama dalam penganjuran program Kedah Tua Travel Mart, Persidangan Antarabangsa Sejarah Kedah Tua Berdasarkan Catatan Yi-Jing di Kuala Lumpur dan membantu pameran Kedah Tua sempena Program Madani Rakyat di Pulau Pinang pada 3 dan 5 Mei lalu,” jelasnya lagi.
Selain itu ujar beliau, kerajaan negeri turut membantu menjayakan penganjuran Festival Warisan Kraf dan Makanan Tradisi Kedah Tua di Kompleks Arkeologi Sungai Batu dan Jerai Geopark Warisan Selayar di Pusat Penerokaan Jerai Geopark, November tahun lalu. – HARAKAHDAILY 25/8/2024











