4,300 peluang pekerjaan pada Karnival MYFutureJobs

Ariffin Deraman (berkopiah) meninjau reruai sempena Karnival Kerjaya Myfuturejobs Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu 2024.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Karnival Kerjaya MyFutureJobs ‘Tiada Yang Terpinggir’ 2024 Terengganu yang sedang berlangsung di KTCC Mall semalam dan hari ini menyediakan 4,300 peluang pekerjaan.

Ia termasuk kira-kira 10 peratus daripadanya terbuka kepada golongan orang kurang upaya (OKU) membabitkan 65 syarikat dari pelbagai sektor dan industri.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, karnival itu dijangka dikunjungi lebih 5,000 pencari kerja di seluruh negeri.

- Advertisement -

Di samping itu, katanya ia juga akan menarik kehadiran pengunjung khususnya golongan suri rumah dan wanita serta badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Menurutnya, sambutan yang diterima amat memberangsangkan kerana dalam tempoh tiga jam sahaja, karnival tersebut telah dikunjungi lebih 700 pengunjung untuk sesi pagi hingga tengah hari.

Katanya, daripada jumlah itu, 73 pengunjung telah berjaya mendapat pekerjaan yang sesuai dengan mereka manakala 268 pengunjung lagi layak untuk menghadiri temuduga.

Tambahnya, kerajaan negeri optimis lebih ramai pengunjung yang akan memiliki pekerjaan yang mereka idamkan selama karnival itu berlangsung.

ADUN Alur Limbat itu berkata, antara kekosongan jawatan terbesar yang ditawarkan ialah dalam sektor pembuatan iaitu 762 kekosongan, pentadbiran awam dan pertahanan (700), pengangkutan dan penyimpanan (500), perdagangan borong dan runcit (419) serta kewangan, insurans dan takaful (310).

“Pelbagai aktiviti perkhidmatan pekerjaan disediakan secara percuma akan turut diadakan sepanjang karnival antaranya penyediaan resume, pendaftaran portal MYFutureJobs serta bimbingan dan nasihat kerjaya,” katanya dipetik portal TRDI.my.

Justeru itu, beliau menyeru orang ramai terutama golongan belia merebut peluang yang disediakan bagi mendapatkan pekerjaan di pelbagai sektor dalam dan luar Terengganu.

Menerusi laman sosialnya, beliau berkata inisiatif kerajaan negeri dalam mewujudkan Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) bagi mengurangkan kadar pengangguran negara diharap dapat diikuti negeri lain.

“Kerajaan Terengganu dan PERKESO aktif menjalankan aktiviti berkaitan dengan pasaran buruh pada Karnival Kerjaya MyfutureJobs PERKESO 24 Tiada Yang Terpinggir,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/8/2024

- Advertisement -