Sukarelawan tingkat siap siaga bantuan bencana

- Advertisement -

SIK: Seramai 210 peserta menyertai Perkhemahan Tahunan Sukarelawan Bencana Negeri Kedah, yang diadakan di Ladang Sebarau, Tasik Beris, selama dua hari, berakhir kelmarin.

- Advertisement -

Pengarah Program Mohd Saifuddin Hassan berkata, pelbagai modul dan aktiviti diadakan sepanjang dua hari itu untuk meningkatkan kefahaman serta kemantapan para sukarelawan.

“Salah satunya ‘Water Confident’ iaitu kaedah menyelamat terutama apabila berlaku banjir termasuk praktikal yang dilakukan di Tasik Beris itu sendiri, dikendalikan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM),” jelas beliau.

Peserta juga ujarnya, didedahkan dengan taklimat berkenaan ‘Pengenalan Kepada Bencana Alam serta Peranan Agensi Kerajaaan dan SOP Keselamatan Sukarelawan’ yang disampaikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Selain kita bagaimana cara menjaga kesihatan mangsa dan sukarelawan itu sendiri terutama ketika bencana dan pemakanan sihat turut didedahkan kepada peserta kali ini.

“Pada hari akhir, semua peserta dilibatkan dengan program gotong-royong dan kemas khemah,” tambah beliau.

Program anjuran Khidmat Malaysia Negeri Kedah dan kerjasama  pertubuhan bukan kerajaan (NGO) KENCANA dan PRIHATIN itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria.

Sementara majlis penutup disempurnakan oleh Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Kedah yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid.

Dalam pada itu, peserta juga diberi penekanan seperti ‘Persiapan Sukarelawan Ke Arah The Greater Kedah’ oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria.

‘Kerja Sukarelawan/Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Beramal Kerana Allah’ oleh Ahli Parlimen Sik, Ustaz Tarmizi Sulaiman dan ‘Apa Itu Sukarelawan Khidmat Malaysia Pusat’ yang disampaikan oleh Setiausaha Khidmat Malaysia Pusat, Mohd Ashrul Hisyam Abdul Jalil. – HARAKAHDAILY 25/8/2024

- Advertisement -