
BENTONG: PAS Bentong komited terhadap agenda PAS Teraju Pahang dengan menyerahkan 50 borang keahlian baru pada mesyuarat bulanan PAS negeri, semalam.
Menurut Yang Dipertua PAS kawasan, Khairuddin Abdullah, PAS Pahang melalui Pelan Tindakan Strategik (PTS) mensasarkan sepuluh peratus keahlian baru mampu dicapai setiap DUN yang akan ditandingi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Katanya, pada tahun ini, sasaran untuk mencapai 10 peratus keahlian baru iaitu 257 orang.
Tambahnya, setakat Ogos ini jumlah ahli baru yang telah terkumpul adalah seramai 138 orang, masih kurang 119 orang lagi untuk mencapai target 10 peratus.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua cawangan dalam kawasan Bentong yang tidak jemu-jemu menambah keahlian baru.
“Saya optimistik angka 119 tak mustahil mampu dicapai kalau kita terus agresif kempen keahlian baru.
“PAS Teraju Pahang memberi penegasan tentang penambahan ahli dan cawangan di DUN kita akan bertanding.
“Dalam konteks kawasan Bentong tentulah tumpuan diberikan di DUN Pelangai dan Ketari untuk teruskan kempen keahlian baru sebelum tahun 2024 melabuhkan tirainya,” ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS negeri.
Penyerahan borang permohonan keahlian baru di Kompleks PAS Kerdau semalam disampaikan kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Roslan Zainal.
Pada April lalu, PAS Bentong telah menyerahkan 88 borang keahlian baru.
Tambah beliau, dengan adanya rangsangan PAS Teraju Pahang serta Muktamar Tahunan PAS kali ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau September ini akan menjadi nilai tambah kepada lonjakan penambahan ahli secara lebih tuntas. – HARAKAHDAILY 25/8/2024











