Masjid Al-Aqsa dalam bahaya!

Mengenang 55 tahun tragedi pembakaran Masjid Al-Aqsa

- Advertisement -

LEBIH setengah abad lalu, Yahudi membakar Masjid Al-Aqsa. Pagi 21 Ogos 1969, pemuda Yahudi berusia 28 tahun dari Australia, Denis Michael Rohan menyalakan api di dalam masjid ketiga terpenting umat Islam itu menyebabkan kemusnahan 1,500 meter persegi atau seperempat dari keseluruhan bangunan masjid.

- Advertisement -

Antara kemusnahan yang paling menyayat hati ialah mimbar Salahuddin Al Ayyubi. Ia dibina oleh Nuruddin Zenki pada 563H (1168M) menggunakan 3,568 kepingan kayu tanpa paku. Mimbar ini dibina oleh tukang-tukang yang mahir dari Halab dan Damsyiq.

Dua batang tiang seri Masjid Al-Aqsa juga tumbang. Atapnya runtuh. Struktur kubah turut musnah.

Mihrab dan dinding bahagian selatan musnah terbakar. Sebahyak 48 tingkap yang dibina dari gypsum dengan hiasan kaca berwarna turut binasa.

Belum dikira permaidani, sejadah, mushaf Al Quran dan kitab-kitab serta pelbagai kelengkapan dan perhiasan masjid.

Bagi menyempurnakan sabotaj kebakaran itu, pihak berkuasa Yahudi menutup bekalan air paip. Menyebabkan umat Islam terpaksa bertungkus-lumus mengangkut air dari beberapa telaga yang ada berdekatan masjid berkenaan.

Rejim Israel mendakwa kebakaran berpunca dari litar pintas. Namun setelah nyata ia perbuatan khianat, mereka terpaksa juga menangkap Rohan 3 hari selepas kejadian.

Dia dihadapkan ke mahkamah. Namun kemudian diisytiharkan sebagai seorang pesakit mental. Rohan ditahan untuk ‘rawatan’ di Institut Mental. Dia kemudiannya dihantar pulang ke Australia pada 14 Mei 1974.

Pada 1995, Rohan yang tinggal di Sydney didakwa meninggal dunia. Namun pada 2009, Australian Broadcasting Corporation melaporkan wartawannya menemui dan menemuramah Rohan. Dia hanya mati selepas beberapa tahun berita itu disiarkan.

Kemusnahan dan kerosakan teruk Masjid Al-Aqsa mendapat perhatian serius beberapa negara Islam. Pakar-pakar dari Syria, Turkey, Mesir, Maghribi dan Malaysia bekerjasama dengan Kementerian Waqaf Jordan dalam usaha membaik pulih masjid berkenaan.

Dengan kos sebanyak 2.2 juta Dinar Jordan, proses baik pulih berjaya disiapkan pada 1986. Pada tahun 2006, sebuah mimbar baru dibuat daripada besi menggantikan mimbar Salahuddin yang musnah terbakar.

Pengkhianatan terhadap Masjid Al Aqsa tidak terhenti setakat itu. Usaha mensabotaj dan mentahwidkan (meYahudikan) masjid ini tetap diteruskan oleh musuh-musuh Islam.

Pada 2003, pihak berkuasa Israel memberi kebenaran kepada pendatang Yahudi untuk masuk ke Masjid Al-Aqsa menerusi pintu Magharibah yang terletak di sebelah Barat masjid. Mereka bebas masuk, berkeliaran dan melakukan upacara agama mereka dalam kawasan Masjid Al-Aqsa dengan dikawal ketat oleh polis Israel.

Sejak itu sudah ribuan pendatang Yahudi diberi peluang masuk ke Masjid Al-Aqsa setiap hari selain Jumaat dan Sabtu.

Bersempena ulang tahun ke-55 pembakaran Masjid Al Aqsa, Institut Eropah Untuk Al-Aqsa memberi amaran bahawa usaha berterusan penghapusan etnik oleh Israel turut menjadikan Masjid Al-Aqsa sebagai salah satu sasaran utama.

Institut itu mendedahkan bahawa untuk jangka pendek, Israel sedang merancang untuk membahagikan Masjid ini kepada dua bahagian seperti yang dilakukan kepada Masjid Al-Khalil di Hebron.

Al-Aqsa akan dibahagikan dua bahagian; satu untuk Yahudi dan satu bahagian lagi untuk orang Islam. Dari segi masa juga akan dibahagi dua; ada masa dibenarkan untuk orang Islam dan ada masa hanya dibenarkan kepada kaum Yahudi.

Keseriusan perancangan ini dapat dilihat beberapa hari sebelum ulang tahun pembakaran Masjid Al-Aqsa ini, Menteri Keamanan yang bertanggungjawab terhadap serangan di Gaza, Itamar Ben-Gvir sendiri masuk bersama pelampau Yahudi ke Masjid Al-Aqsa. Mereka turut melakukan upacara ritual Yahudi di pekarangan masjid ini.

Ben-Gvir adalah pemimpin kumpulan pelampau anti-Arab dikenali sebagai Otzma Yehudit atau Kahanith.

Tahun lalu, anggota Parlimen (Kenniset) dari parti Likud mendedahkan perancangan mereka untuk mengambil alih Masjid As-Sakhrah di bahagian utara kerana mendakwa sebahagian struktur Haikal Sulaiman berada di bawah masjid berkenaan. Manakala orang Islam hanya akan dibenarkan menggunakan Masjid Qibli di bahagian selatan sahaja.

Mereka juga merancang untuk membenarkan orang-orang Yahudi masuk menerusi semua pintu dan tidak hanya terhad kepada pintu Magharibah sahaja seperti sekarang.

Sejak awal tahun 2024 hingga Julai, sebanyak 125 kali pencerobohan ke dalam Masjid Al-Aqsa dilaporkan membabitkan 28,653 orang pendatang Yahudi.

Institut Eropah Untuk Al-Aqsa menyeru masyarakat antarabangsa supaya menyekat usaha kerajaan pelampau ini dan mendakwa, Al-Aqsa dalam bahaya!

Oleh:
USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 25/8/2024

- Advertisement -