
ALOR SETAR: Pelan Tindakan The Greater Kedah akan dilancarkan pada penghujung September depan apabila proses menilai isi kandungannya dimuktamadkan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor (PAS-Jeneri) menjelaskan demikian bagi menjawab soalan lisan Azhar Ibrahim (PAS-Ayer Hitam) pada Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Perlaksana dan Sekretariat The Greater Kedah untuk meneliti serta menggarap agenda The Greater Kedah secara lebih tersusun.
“The Greater Kedah merupakan sebuah gagasan besar negeri untuk tempoh jangka panjang melibatkan keseluruhan aspek-aspek berkepentingan negeri.
“Termasuk pemerkasaan dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial, hasil bumi, fiskal negeri, tadbir urus, perundangan, kehakiman negeri, kerjasama strategik serta perancangan geopolitik.
“Pelan Tindakan draf pertama telah siap dan kini sedang dalam proses menilai dan memuktamadkan isi kandungannya,” katanya.
Pada sesi soalan lisan, Azhar inginkan penjelasan usaha-usaha kerajaan negeri untuk memfokuskan The Greater Kedah secara menyeluruh di samping pelan-pelan pembangunan yang lain.
Justeru tambah Sanusi, pelan perancangan sedia ada seperti Pelan Pembangunan Kedah 2035 (KEDAH2035), Pelan Strategik Ahli Majlis Kerajaan Negeri 2024-2028 serta perancangan lain seperti Rancangan Struktur Negeri (RSN) akan diteruskan dengan penambahbaikan.
Pelan Pembangunan berkenaan jelasnya, akan bertindak sebagai pemacu pelaksanaan Pelan Tindakan The Greater Kedah. – HARAKAHDAILY 25/8/2024











