
PUTRAJAYA: “Pemikiran umat Islam dan orang Melayu masih belum sepenuhnya merdeka, walaupun pada zahirnya sudah merdeka daripada dijajah,” kata Penaung Yayasan Permata Ummah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, pemikiran umat Islam dan orang Melayu di negara ini masih dijajah dan dibelenggu, antaranya pemahaman dalam masalah kehidupan manusia seperti urusan duniawi.
“Orang Melayu hanya faham Islam cukup sekadar ibadah sahaja, untuk akhirat sahaja seolah-olah di dunia ini tiada apa yang penting, sedangkan Allah SWT jadikan manusia ini untuk beribadah kepada Allah dan untuk mengurus urusan dunia dan akan dihisab pada hari akhirat yang akan menentukan sama ada bahagia atau celaka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program “Bicara Merdeka: Masa Depan Islam dan Melayu” di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri oleh Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana, Tun Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi Yayasan Permata Ummah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Penasihat Undang-Undang Yayasan Permata Ummah, Wan Rohimi Wan Daud.
Tambahnya, Islam sudah tidak menjadi sempurna sehingga orang Melayu sendiri tidak sedar kedudukan mereka sendiri dalam tanah air khususnya dalam aspek politik.
“Sebagai satu contoh, mereka tidak sedar bahawa merekalah yang berhak untuk berkuasa dalam memerintah dan mentadbir negara ini, kerana Islam mesti memerintah, kerana Islam sahaja yang tahu ada dosa dan pahala dan dihisab segala amalannya.
“Ideologi-ideologi lain tiada, tiada dosa pahala, tiada hisab. Kalau rasuah, dapat duit banyak boleh pergi umrah, selesai masalah,” ujarnya yang juga Presiden PAS.
Walau bagaimanapun, tambah beliau, dalam agama Islam, walaupun seseorang itu melakukan ibadah umrah tetapi tidak bertaubat, ianya tidak akan selesai kerana terdapat hisab di hari akhirat.
“Dengan sebab itu, masa depan kita kabur. Hanya Islam sahaja yang boleh menyelamatkan kita dalam wawasan yang panjang.
“Kita saksikan pada hari ini kegagalan ideologi ciptaan manusia yang bersifatkan materialistik,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/8/2024











