
KUALA KEDAH: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengetuai Konvoi Bot Merdeka yang disertai kira-kira 80 bot nelayan Kuala Kedah bermula dari Seberang Anak Bukit, di sini hari ini.
Beliau memandu sendiri bot bermula dari kediamannya, Seri Mentaloon ke lokasi perasmian di Kampung Seberang Anak Bukit, sebelum berkonvoi beramai-ramai ke laluan seterusnya.
Konvoi anjuran bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Anak Bukit dan Suka Menanti itu menyusuri Sungai Kedah itu kemudian singgah di Muzium Kedah, mengedar Jalur Gemilang sebelum ke Tanjung Chali.
Sanusi dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada ADUN Anak Bukit, Rashidi Razak dan ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani, atas penganjuran konvoi tersebut.
“Kita buat konvoi ini sempena Sambutan Kemerdekaan kali ke-67. Kali ini tidak tak berarak di darat tapi kita berarak di air pula. Ini kali pertama kita buat bersama hampir 80 bot nelayan.
“Harap lain masa boleh buat lagi seperti ini, mungkin lebih ramai nelayan menyertainya,” kata beliau yang juga ADUN Jeneri.
Ujarnya, Sungai Kedah mempunyai sejarahnya tersendiri, di mana ia ibarat ‘highway’ (lebuh raya) kerana sungai merupakan laluan utama bagi masyarakat dahulu.
Malah katanya, nama Suka Menanti juga dikatakan bersempena nama Penghulu yang menjadi pemimpin tentera Perang Bisik di kawasan tersebut.
“Ada juga orang kata nama Suka Menanti berasal dari percakapan masyarakat dahulu yang bersedia menunggu perahu walaupun lewat dan lambat.
“Perahu lambat, depa (mereka) suka menantilah (tunggu), maka jadilah nama tempat Suka Menanti. Tapi itu lawak sahaja (sambil ketawa). Yang betul tu, nama sempena Penghulu yang memimpin tentera Perang Bisik di kawasan ini,” ujarnya.
Sanusi juga memaklumkan, beliau suka pandu bot dan memiliki tiga bot peribadi, sementara di belakang kediamannya rasminya juga terdapat jeti.
“Bila ada masa lapang, petang-petang, saya pandu bot saya hingga ke Pendang,” tambahnya lagi.
Justeru beliau mengharapkan suatu hari nanti Sungai Kedah akan menjadi produk pelancongan utama di Alor Setar dan Kedah.- HARAKAHDAILY 24/8/2024















