
KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) kini sedang aktif mengumpul bukti untuk memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Sabtu lalu.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Noor berkata, bukti itu membabitkan dakwaan yang mengatakan BN merasuah dan mengancam pengundi sepanjang tempoh berkempen.
Menurutnya, pihaknya mendapat maklumat berlaku sogokan sepanjang kempen PRK baru-baru ini.
Untuk itu, katanya PN akan mengumpul bukti terlebih dahulu sebelum petisyen dibuat.
“Kalau lawyer kita kata cukup bukti (yang dikumpul) cukup, kita akan memfailkannya selepas ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau memberitahu, bukti yang diperlukan membabitkan pelbagai kerana itu masa diperlukan untuk mengumpulnya agak lama.
Tambahnya, apa yang dilakukan itu bagi memastikan PRK lalu mengikut peraturan yang ditetapkan atau sebaliknya.
“Kalau pihak kita tentu kita tidak menyalahi peraturan, bahkan jentera kerajaan negeri juga kita tidak gunakan sewaktu kempen,” katanya lagi.
Pada PRK DUN Nenggiri, calon PN, Mohd Rizwadi Ismail memperoleh 5,741 undi sementara calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mendapat 9,113 undi. – HARAKAHDAILY 24/8/2024











