
PASIR PUTIH: Bantuan pesakit kronik antara menjadi tumpuan pada program Skuad Kito Cakno (SKC) Pusat Khidmat DUN Gaal untuk diberikan kepada mereka yang mengidap penyakit berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal, Mohd Rodzi Jaafar berkata, sebanyak lima pesakit kronik telah diziarahinya pada program berkenaan membabitkan kos sekitar RM2,000.
Katanya, sumbangan diberikan antara RM300 hingga RM500 mengikut jenis penyakit yang dihadapi mereka.
“Jika mengidap penyakit kronik seperti jantung atau kanser, sumbangan yang diberikan agak tinggi berbanding pesakit kronik biasa,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, peruntukan berkenaan dikeluarkan menerusi bantuan Skim Bantuan Kronik yang diberikan secara one off kepada pesakit.
Tambahnya, peruntukan itu tidak termasuk sumbangan kepada penerima lain yang melibatkan warga emas yang uzur atau pesakit biasa.
Beliau berkata, masih ramai penduduk DUN Gaal yang mengidap penyakit kronik, namun mereka tidak memohon.
Tambahnya, sedangkan kerajaan negeri menyediakan peruntukan itu kepada rakyatnya demi mengurangkan bebanan yang dihadapi.
“Orang ramai boleh membuat permohonan di Pejabat Pusat Khidmat DUN Gaal setiap awal tahun,” katanya lagi.
Semalam, beliau bersama isteri Yusmawati Yusoff serta SKC meluangkan masa sehari mengunjungi rakyat yang sakit dalam DUN berkenaan.
Kunjungan rutin itu salah satu usaha kebajikan yang berterusan telah dilaksana setiap tahun.
Antara kampung yang dikunjunginya ialah Kampung Kemudu Bongkok, Kampung Gaal Pondok, Kampung Pulau Sa dan Kampung Tembila. – HARAKAHDAILY 24/8/2024











