
PUTRAJAYA: “Kita betul-betul tidak merdeka, kita tertakluk kepada bukan undang-undang yang sah, tetapi undang-undang yang tidak sah,” kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, untuk membuat undang-undang, terdapat cara-cara tertentu supaya ianya sah untuk dilaksanakan.
“Cadangan perlu dibawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebelum ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong, kemudian digazetkan. Barulah undang-undang itu boleh digunakan.
“Tetapi sekarang tidak. Cuma Perdana Menteri menyatakan ‘kamu tidak boleh bercakap berkenaan dengan 3R,’ dan kita pun terbelenggu dengan sekatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program ‘Bicara Merdeka: Masa Depan Islam dan Melayu’ anjuran Yayasan Permata Ummah di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Penaung Yayasan Permata Ummah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Pengerusi Yayasan Permata Ummah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi; Penasihat Undang-Undang Yayasan Permata Ummah, Wan Rohimi Wan Daud dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab. Halim Tamuri.
Dr Mahathir berpendapat bahawa keadaan di negara sekarang bukanlah merdeka dan bebas, tetapi tertakluk kepada undang-undang yang tidak sah.
“Sebab itu kalau kita balik kepada undang-undang, kita pegang kepada the rule of law, perkara ini tidak akan berlaku dan kita akan terus merdeka, membincangkan masalah mengenai orang Melayu, masalah orang Islam kita.
“Tetapi sekarang tidak, hanya kerana seseorang itu membuat satu kenyataan (3R), maka polis panggil dan akan disoal dan sebagainya. Ini menunjukkan kita tidak merdeka,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/8/2024











