
KUALA LUMPUR: Susulan kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India, di sini pagi semalam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman pada hari ini, ditutup.
DBKL menerusi satu kenyataan berkata, hal itu bertujuan bagi memberi laluan kepada usaha-usaha kepada para penyelamat untuk mencari mangsa, Vijayaletcuhmy, 48, yang masih belum dijumpai.
“Di samping itu, pihak DBKL turut mengambil kira faktor keselamatan para peniaga pasar malam di kawasan tersebut.
“Dimaklumkan juga Program Santai Seni @ TAR (Tuanku Abdul Rahman) yang diadakan pada Ahad minggu kedua dan keempat serta dijadualkan pada esok, 25 Ogos adalah ditunda,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Dalam kejadian jam 8.25 pagi semalam, wanita warga India itu dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India.
Laporan kejadian itu diterima Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian. – HARAKAHDAILY 24/8/2024











