Pasukan SAR terdedah gas beracun di pembetung

- Advertisement -

KEJADIAN tanah jerlus di hadapan Masjid India yang mengakibatkan seorang wanita terjatuh dan tertimbus di bawah tanah mendap sedalam kira-kira 10 meter sudah mula menjadi bualan ‘netizen’ berkaitan struktur tanah di Kuala Lumpur. Struktur tanah di Kuala Lumpur dikatakan terdiri daripada batu kapur. Namun bukan perkara ini yang ingin saya sampaikan kerana ini bukanlah kepakaran saya. Biarkanlah ahli geologi yang bincangkan berkaitan geobencana ini.

- Advertisement -

Perkara yang menarik minat saya ialah berkaitan ‘hazard’ yang dihadapi oleh pasukan operasi menyelamat (SAR) iaitu terdedah kepada gas beracun di pembetung. Keadaan tempat mangsa yang dijangka berada merupakan tempat yang boleh diklasifikasikan sebagai ruang terkurung. Antara hazard utama ruang terkurung ialah atmosfera berhazard.

Atmosfera berhazard ialah atmosfera yang boleh mendedahkan pekerja kepada risiko maut, hilang upaya dan gagal untuk menyelamatkan diri, cedera atau berpenyakit atau disebabkan oleh satu atau lebih adalah seperti berikut iaitu kandungan oksigen kurang daripada 19.5 peratus atau lebih daripada 23.5 peratus (di aras laut), pengumpulan gas mudah terbakar atau mudah meletup melebihi 10 peratus daripada Had Letupan Bawah (LEL) nya, pengumpulan gas beracun (toksik) bersamaan atau melebihi Had Pendedahan yang dibenarkan (PEL) dan sebarang keadaan atmosfera yang amat berbahaya kepada nyawa dan kesihatan (IDLH).

Antara gas beracun (toksik) yang boleh wujud di pembetungan ialah gas Hidrogen Sulfida. Gas Hidrogen Sulfida adalah gas yang tidak berwarna, beracun, mudah terbakar dan berbau seperti telur busuk. Gas ini boleh timbul dari aktiviti biologi ketika bakteria menguraikan bahan organik dalam keadaan tanpa oksigen (kegiatan anaerobik). Had pendedahan  yang dibenarkan untuk 8 jam mestilah di bawah 10ppm dan 15 minit di bawah 30ppm. Jika lebih 30 ppm wajar memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) ‘air supply breathing apparatus’.

Bagaimana untuk mengetahui status kandungan gas beracun ini? Antara orang yang mahir ialah Penguji Gas Bertauliah (AGT). AGT akan mengunakan ‘gas detector’ bagi mengesan kehadiran gas beracun tersebut. Dengan mengetahui parameter gas beracun, AGT dapat mengintrepatasikan nilai bacaan serta memberi cadangan pengawalan yang diperlukan.

Apabila mengetahui status bacaan yang diambil, AGT boleh menentukan berapa lama pekerja boleh berada di dalam pembetungan (ruang terkurung), jenis peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai dan kadar alir bagi pengalihudaraan yang berkesan untuk digunakan!

Oleh:
TS HAJI SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – HARAKAHDAILY 24/8/2024

- Advertisement -