SUKMA: Bukan pengakhiran tetapi permulaan untuk bangkit kembali

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Walaupun pasukan olahraga Terengganu tidak berjaya memperolehi pungutan pingat Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang diimpikan, ia bukanlah pengakhiran.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata ia permulaan untuk bangkit kembali.

Menerusi catatan di Facebook, katanya beliau bukanlah individu yang bersama dengan pasukan itu sejak dari awal lagi.

- Advertisement -

Jelasnya, pada 5 Mei lalu, beliau telah diamanahkan selaku bapa angkat kepada sukan olahraga.

“Walaupun tidak bermula dan hanya pertengahan jalan bersama mereka, saya ingin akhiri perjuangan ini dengan kenangan dan pengalaman yang indah bersama anak-anak serta pengurusan pasukan olahraga SUKMA Sarawak kali ini.

“Namun saya tahu, ianya bukan satu proses yang mudah untuk sampai di tahap ini,” ujarnya.

Ini, katanya kerana ada yang terpaksa mengorbankan waktu kerja, belajar bahkan mengorbankan diri sepenuhnya untuk menjalani latihan.

“Alhamdulillah, hasilnya pasukan olahraga Terengganu berjaya peroleh tiga pingat emas dan tiga pingat perak.

“Walaupun tidak berjaya memperolehi pungutan pingat yang diimpikan, ianya bukanlah pengakhiran, tetapi permulaan untuk kita bangkit kembali.

“Ingat, apa yang kita sentiasa laungkan – Hanelang Bangkit!” katanya yang juga ADUN Wakaf Mempelam.

Pada catatan malam tadi, beliau berkata dalam perjuangan, tidak semuanya akan berakhir dengan keindahan meskipun pelbagai usaha dan rintangan telah dilalui.

Katanya, ada kala ujian yang diberi itu adalah signal permulaan untuk bangkit meraih kejayaan.

Justeri, beliau mengucapkan tahniah buat semua anak-anak olahraga negeri yang telah mempersembahkan aksi yang baik di SUKMA Sarawak selama lima hari itu.

“Kejayaan anda semua yang berjaya menghadiahkan tiga pingat emas dan tiga pingat perak buat negeri Terengganu juga adalah satu kejayaan yang besar,” katanya.

Tambahnya, kesempatan yang ada pada malam tadi beliau meraikan anak-anak olahraga serta barisan jurulatih. (Foto atas)

“Sejujurnya, saya cukup menghargai peranan dan pengorbanan dari mereka semua,” ujarnya.

Menurutnya, beliau faham ianya bukan satu perjalanan yang mudah untuk sampai di tahap itu.

“Pesan saya pada anak-anak ini, kejayaan ini bukanlah pencapaian peribadi semata-mata, namun ia meliputi pencapaian sebuah pasukan yang sentiasa mendorong semangat antara satu sama lain,” katanya lagi.

Turut bersama pada majlis malam tadi ialah Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh. – HARAKAHDAILY 24/8/2024

- Advertisement -