
KUALA NERUS: Penganjuran Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) 2024 dilihat sebagai platform yang berkesan dalam menyuntik keyakinan diri serta memupuk budaya kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar.
Pengerusi Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, elemen itu sangat penting dalam mendidik pelajar untuk berfikir secara kritis, yang merupakan kunci kepada kejayaan akademik dan pembinaan sahsiah mulia.
“Bahkan ia merupakan satu cabang falsafah pendidikan dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial.
“Inilah modal insan yang holistik yang ingin kita terapkan kepada anak pelajar kita yang merupakan bakal pemimpin pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan majlis penutup KESSUMA 2024 di Dewan Arena Stadium Tertutup KSNT, di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Roslan Said; Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, M Razi Bidin; Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Rosman Awang; dan Pengarah Bahagian Pendidikan JAKIM, Fadhil Abdul Kasim.
Satiful berkata, kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula pada 19 Ogos itu melibatkan kerjasama erat antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT).
“Saya ucapkan syabas kepada JAKIM dengan kerjasama tuan rumah JHEAT dan JPINT serta seluruh jawatankuasa yang telah menggalas tanggungjawab dan amanah yang berat dalam menjayakan kejohanan KESSUMA.
“KESSUMA adalah salah satu daripada usaha JAKIM dalam memastikan akses pendidikan yang berkualiti dapat diberikan kepada semua pelajar dalam membina semangat kesukanan anak-anak pelajar.
“Majlis pada hari ini jelas menunjukkan kesungguhan dan komitmen yang cemerlang kepada barisan atlet yang telah bersaing dalam penyertaan enam acara sukan yang telah dipertandingkan,” katanya.
Beliau berkata, penganjur kejohanan seperti ini menggambarkan komitmen negara terhadap kepelbagaian dalam pendidikan, terutama dalam membina keterampilan pelajar yang komprehensif dan berdaya saing serta secara sihat dan positif melalui aspek sukan, selaras dengan matlamat agama Islam yang menekankan kesihatan dan kekuatan umatnya. – HARAKAHDAILY 22/8/2024











