
GUA MUSANG: Projek Hidro Elektrik Nenggiri rupanya ‘membongkar’ khazanah besar yang tersembunyi di perut bumi dan menjadi sejarah penting bagi negeri Kelantan ini sendiri dan negara amnya.
Antaranya satu rangka yang lengkap ditemukan di Gua Keledung Kecil yang berusia antara 14,000 hingga 16,000 tahun, demikian beritahu Pengarah Bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara, Zaharudin Abu.
Penemuan itu adalah dari usaha pihak tersebut untuk membawa keluar semaksimum mungkin artifak dan jumpaan dari hasil kerja penyelidikan dan ekskavasi menyelamat terhadap 13 gua yang terkesan dengan projek terbabit.
Rangka tersebut dimaklumkan adalah satu daripada 16 rangka, tulang, alat batu, tembikar dan pelbagai lain berjumlah 71,289 jumpaan yang telah dibawa keluar untuk kerja pemuliharaan, konservasi dan penyelidikan lanjutan.
“Manakala selebihnya ada yang disimpan oleh pihak TNB (Tenaga Nasional Berhad). Terima kasih kepada TNB kerana menyediakan tempat untuk kita menyimpan sementara artifak atau jumpaan itu,” ujarnya.
Zaharudin mengakui penemuan itu amat bernilai tinggi dan membuka peluang kepada masyarakat untuk menerima sektor eko pelancongan di negeri ini, secara tidak langsung membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Beritahu beliau, pihaknha juga akan mohon kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mencalonkan rangka manusia Gua Keledung Kecil ini untuk diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645). – HARAKAHDAILY 22/8/2024











