
KUALA LUMPUR: Lajnah Al-Quds, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyeru seluruh umat Islam untuk terus berdoa dan memberi sokongan moral serta material kepada perjuangan rakyat Palestin, terutama dalam mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa.
PUM dalam kenyataannya berkata, tragedi Masjid al-Aqsa dibakar pada 21 Ogos 1969 merupakan peristiwa yang malang hingga meninggalkan kesan mendalam kepada umat Islam di seluruh dunia.
“Pada hari yang tragis ini (21 Ogos) seorang pelampau Yahudi, Denis Michael Rohan telah membakar sebahagian Masjid al-Aqsa yang merupakan salah satu daripada tiga masjid suci dalam Islam.
“Masjid al-Aqsa bukan sekadar sebuah tempat ibadah tetapi, ia adalah simbol penting dalam sejarah dan peradaban Islam serta lambang keimanan umat Islam terhadap kesucian Baitul Maqdis.
“Lebih daripada itu, peringatan ini juga membawa kepada perhatian kita tentang krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza dan kawasan-kawasan lain di Palestin,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Justeru, pihaknya menegaskan bahawa tindakan rejim Israel yang berterusan melakukan serangan ketenteraan dan ekonomi terhadap rakyat Palestin di Gaza adalah satu bentuk penghapusan etnik yang disengajakan.
“Penindasan sistematik, rampasan tanah, pengusiran paksa dan serangan ganas ke atas penduduk awam Palestin adalah pelanggaran hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
“Penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza bukan sekadar isu politik, tetapi ia adalah krisis kemanusiaan yang sangat mendesak.
“Rejim Israel telah menggunakan kekuatan ketenteraan yang melampaui batas menyebabkan ribuan nyawa terkorban dan ratusan ribu kehilangan tempat tinggal,” katanya.
Tambah PUM, sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Gaza menyebabkan krisis makanan, kesihatan, dan pendidikan yang mengakibatkan kesengsaraan yang tidak terbayang kepada penduduknya, khususnya wanita dan kanak-kanak.
“Selain itu, kerajaan juga perlu meneruskan komitmen tegas dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin di peringkat antarabangsa, melalui platform diplomatik, ekonomi dan politik, serta mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap penghapusan etnik yang dilakukan oleh rejim Israel.
“Negara Islam dan masyarakat antarabangsa memainkan peranan yang lebih aktif menghentikan pencerobohan dan keganasan yang dilakukan oleh Israel ke atas rakyat Palestin, serta menuntut keadilan bagi mereka yang terkorban dan terjejas akibat kezaliman yang berterusan ini,” tambah kenyataan itu.
Kenyataan PUM itu turut menyatakan, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan adalah untuk meningkatkan usaha dalam memberikan bantuan kemanusiaan dan advokasi bagi rakyat Palestin yang terjejas akibat penjajahan dan penindasan yang berterusan
“Sebagai umat Islam, kita harus sentiasa peka dan prihatin terhadap keadaan saudara-saudara kita yang berada dalam kesusahan, terutama mereka yang berada di Palestin.
“Peringatan ini bukan sekadar mengenang sejarah, tetapi juga sebagai tanda peringatan agar kita tidak alpa dalam mempertahankan nilai-nilai keadilan, keamanan, dan kemanusiaan sejagat.
“Semoga Allah SWT melindungi Masjid al-Aqsa dan seluruh umat Islam daripada sebarang ancaman dan memberi kekuatan kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/8/2024











