
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini mencatat sejarah peribadi apabila berjaya diluluskan sebagai jurutera profesional (Ir) oleh Lembaga Jurutera Malaysia (Board of Engineers Malaysia).
Katanya, pengiktirafan itu diperoleh selepas beliau berjaya menamatkan proses yang ditetapkan di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967 dan Peraturan Pendaftaran Jurutera 1990 (Peraturan 19).
Menyingkap kembali memori lama dalam satu hantaran di laman Facebook, Samsuri menyatakan bahawa minatnya dalam bidang kejuruteraan bermula sejak dari zaman kanak-kanak.
“Saya masih ingat satu soalan dari guru kelas ketika berada di darjah satu Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh, Besut, Terengganu di minggu pertama persekolahan pada bulan Januari 1977.
“Soal guru kelas kepada kami semua, ‘Apa cita-cita kamu, cikgu nak tulis dalam buku peribadi setiap murid’.
“Jawapan saya waktu itu, ‘Cikgu, saya nak jadi engineer’. Jawapan yang mungkin naif pada usia mentah, atas apa jua sebab saya pada waktu itu.
“Selepas puluhan tahun berlalu, hari ini saya menerima keputusan permohonan saya sebagai ‘Professional Engineer – atau Ir’,” katanya.
Walaupun menjawat tugas eksekutif tertinggi di negeri Terengganu, Samsuri berkata, beliau tetap berusaha untuk mendapatkan status Jurutera Profesional sebagai satu motivasi diri sendiri untuk terus maju ke hadapan.
Beliau juga berharap kejayaannya itu dapat menjadi inspirasi kepada semua pelajar sekolah dan universiti untuk tidak berputus asa dalam mengejar cita-cita, walaupun pelbagai cabaran mungkin akan dihadapi.
“Cabaran akan tiba untuk menguji kita, itulah yang membezakan sama ada kita mampu menjadi yang terbaik atau tidak,” katanya.
Menerusi pengiktirafan itu, beliau secara rasminya kini menjadi sebahagian daripada keluarga jurutera profesional di Malaysia yang bilangannya hampir 8,000 orang ketika ini. – HARAKAHDAILY 22/8/2024











