Jelajah konvoi motosikal Pemuda PAS dekati anak muda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pimpinan Pemuda PAS Pusat mempraktikkan ungkapan ‘Kill three birds with one stone’ dengan menjelajah ke negeri selatan tanah air dengan motosikal secara berkonvoi bagi mendekati golongan anak muda.

“Seperti sedia maklum bahawa anak muda dan motosikal tidak dapat dipisahkan.

- Advertisement -

“Maka, pendekatan ini diambil dan diatur oleh pimpinan Pemuda PAS dalam mengatur masa untuk menjiwai titik persamaan itu,” ujar kenyataan Pemuda PAS dalam  Facebook rasminya, yang berkongsi aktiviti dan misinya dalam mendekati golongan anak muda dengan bahasa orang muda dan menjiwai kehidupan mereka. 

Selain itu, tambah kenyataan tersebut, konvoi jelajah berkenaan lebih memfokuskan pelunasan tanggungjawab organisasi, melancarkan hala tuju jemaah dan menyeragamkan fikiran dan gerak kerja.

“Dalam pada itu juga, misi penjelajahan ini untuk pelunasan tuntutan badan bagi mengamalkan gaya hidup sihat selain membekalkan hormon dopamine, adrenaline, endorfine untuk kesihatan emosi dan mental.

“Kami pun anak muda, kena bekalkan hormon-hormon ini, barulah ceria dan gembira sentiasa.

“Takkanlah Pemuda PAS Pusat turun santuni dan berkongsi buah fikiran dengan Pemuda PAS kawasan, tapi muka ‘ketat memanjang’. 

“Santai-santai sahaja, asalkan kita capai sasaran,” jelas kenyataan.

Sehubungan itu Naib Ketua Pemuda Dewan PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin, yang turut memuat naik hantaran aktiviti konvoi jelajah di Facebooknya berkata, “Melihat kesungguhan Pemuda  PAS Johor Darul Takzim (JDT) hilang rasa penat ‘ride’ (menunggang  motosikal dalam konvoi jelajah) sejauh lebih 350 kilometer.

“Alhamdulillah, perbincangan dua hala yang sangat baik. Membugar semangat untuk terus bergerak dan mencipta lebih banyak kemenangan di Johor insya-Allah.

“Setiap negeri berbeza topik perbincangan, di Johor banyak membicarakan isu untuk memperkemaskan pentadbiran Pemuda PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/8/2024

- Advertisement -