Mayat kanak-kanak dua tahun dijumpai di Pantai Leman

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang ditemui di Pantai Leman, dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan dua beranak, Isnin lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat mangsa ditemui terdampar oleh orang awam yang berada di pantai itu kira-kira pukul 12.00 tengah hari, semalam.

Jelas beliau, siasatan polis ketika penemuan mendapati, keadaan fizikal mayat kanak-kanak itu sempurna, namun terdapat kesan kelar di leher.

- Advertisement -

“Kesan kelar itu sama seperti dua mayat dua beranak yang ditemui di Pekan Simpang Kuala, dua hari lalu.

“Bagaimanapun pihak polis kini  membuat pengesahan identiti mayat kanak-kanak tersebut,” jelas beliau.

Terdahulu, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing susulan penemuan mayat dua beranak di dalam longkang,berdekatan Pekan Simpang Kuala di Jalan Sultan Abdul Halim, di sini petang kelmarin.

Suspek berusia 43 tahun itu diberkas di sebuah masjid di Bukit Pinang, kira-kira empat jam selepas dua mayat itu ditemui, bersama seorang anak lelaki berusia lima tahun yang dijumpai selamat, namun trauma.

Semalam, Harakahdaily turut melaporkan penemuan dua mayat wanita 34 tahun dan kanak-kanak perempuan 10 tahun yang ditemui di dalam longkang itu disahkan dua beranak.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan. – HARAKAHDAILY 21/8/2024

- Advertisement -