Selangor banjir lagi

Abdul Halim ketika meninjau kawasan yang dilanda banjir di Saujana Perdana pada malam tadi, 20 Ogos 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Episod banjir yang berulang setiap kali hujan lebat di Negeri Selangor sedikit sebanyak menunjukkan bahawa pengurusan bencana banjir di negeri tersebut masih bermasalah.

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, ia bermasalah sehingga menyebabkan jalan utama ditutup, ramai yang terperangkap dan merosakkan harta benda.

“Justeru, jalan penyelesaian jangka pendek dan panjang perlu disegerakan demi kesejahteraan serta keselamatan warga Selangor seluruhnya.

- Advertisement -

“Besar harapan kita agar wakil rakyat yang prihatin seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Dato’ Dr Ab. Halim Tamuri  dan ADUN Sementa, Ustaz Noor Najhan Mohamad Salleh akan terus memperjuangkan isu ini,” katanya.

Abdul Halim ketika meninjau rumah seorang di kawasan dilanda banjir di Saujana Perdana, malam tadi.

“Dan mencari solusi yang berkesan agar ia tidak terus menghantui rakyat Selangor,” ujar Zurk dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Zurk berkata, ketika ada yang sedang menikmati suasana sejuk dek hujan semalam, terdapat beberapa kawasan seperti Padang Jawa, Seksyen 16, Kampung Pasir, Ulu Yam dan Paya Jaras Hilir telah dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang berterusan.

Guru serta pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa ujar beliau, sehinggakan terpaksa meredah banjir yang dianggarkan setinggi 0.7 meter yang berpunca daripada sistem longkang tersumbat.

“Alhamdulillah tiada mangsa yang terperangkap dan sebahagian rumah yang terjejas juga sudah semakin pulih.

“Syabas dan terima kasih atas tindakan pantas anggota bomba serta wakil-wakil rakyat yang segera turun membantu mangsa yang terjejas,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/2024

- Advertisement -