Fenomena air pasang besar landa Langkawi

- Advertisement -

LANGKAWI: Orang ramai dinasihatkan peka dengan tanda amaran bendera merah yang dinaikkan oleh anggota penyelamat pantai di Pantai Chenang dan Pantai Tengah, berikutan fenomena air pasang besar dijangka berlaku di dua pantai berkenaan.

- Advertisement -

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten Khairul Afzan Md Yasin, pihaknya juga sudah mengarahkan anggota melakukan pemantauan di dua lokasi berisiko itu agar pengunjung pantai mematuhi arahan untuk mengelak kejadian yang tidak diingini terjadi.

“Bendera merah itu sebagai panduan kepada orang ramai supaya menjauhi kawasan berkenaan. Fenomena air pasang besar dijangka berlaku empat hari mulai hari ini,boleh mengakibatkan paras ombak mencecah ketinggian  lebih tiga meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pengunjung pantai katanya perlu lebih berhati-hati dan sentiasa waspada dengan perubahan keadaan sekitar dan segera memaklumkan kepada anggota Pertahanan Awam jika melihat kejadian yang boleh mengundang kemalangan.

Dalam pada itu, kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi, dilaporkan ketinggian ombak mencecah 3.17 meter, sekali gus tidak selamat untuk sebarang aktiviti riadah.

Sementara itu, Pusat Hidrografi Nasional dalam kenyataan berkata, fenomena air pasang besar yang akan berakhir Sabtu depan, bertepatan dengan maklumat yang terkandung dalam Jadual Pasang Surut Malaysia 2024.

Air pasang besar boleh menyebabkan limpahan air di kawasan daratan dan kemungkinan berlaku banjir.

Oleh itu penduduk berhampiran kawasan persisir pantai disaran lebih cakna dan berwaspada berdepan dengan fenomena ini. – HARAKAHDAILY 21/8/2024

- Advertisement -