Tindakan pantas ADUN bantu tangani risiko banjir

- Advertisement -

PADANG SERAI: Tindakan pantas Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Merbau Pulas telah membantu mengurangkan risiko kejadian banjir di Taman Perak, di sini.

- Advertisement -

ADUN Merbau Pulas, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, beberapa tindakan diambil untuk mengelak air terus melimpah serta masuk ke kawasan rumah kediaman penduduk.

“Antaranya MPKK telah membuat parit sementara serta mengorek semula parit-parit terkambus yang menyebabkan laluan air tersekat dan  melimpah ke kawasan penduduk,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Selain itu katanya, terdapat beberapa cadangan tindakan jangka panjang serta jangka pendek dibincangkan untuk mengelak kejadian banjir di Taman Perumahan itu daripada berulang kembali.

“Terima kasih kepada MPKK yang diwakili Zaidy Zainon serta ‘teamnya’ yang sanggup turun padang, meninjau sendiri dan bertindak pantas.

“Kami insyaallah sentiasa cakna apa yang berlaku kepada masyarakat,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan Negeri.

Beliau turut mengadakan lawatan ke Kulim Utama bersama wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kulim Hi-Tech berikutan menerima aduan kejadian banjir lumpur, di situ.

Pihaknya mendapati kejadian banjir lumpur di kawasan perumahan itu berpunca daripada projek perumahan Kulim Utama fasa 3, yang sedang berjalan kini.

“Hujan lebat kelmarin telah mengakibatkan banjir lumpur di kawasan perumahan apabila tanah dan lumpur dari kawasan projek dibawa air deras,” jelasnya lagi.

Justeru itu katanya, pihak PBT telah mengarahkan pihak syarikat projek tersebut untuk membersihkan kesan-kesan banjir lumpur berkenaan.

Selain pihak tersebut juga diminta mencari altenatif lain menyekat aliran hakisan agar tidak sampai ke kawasan perumahan terutama apabila berlaku hujan lebat.

“Terima kasih atas kerjsama semua pihak membantu menyelesaikan masalah ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/8/2024

- Advertisement -