
PORT DICKSON: Kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di sekitar Kampung Bagan Pinang dan Teluk Kemang dipercayai berpunca daripada sistem saliran tidak berada dalam keadaan memuaskan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Ustaz Abdul Fatah Zakaria berkata, ia memerlukan tindakan segera pihak kerajaan bagi menyelenggara atau membesarkan saliran tersebut.
“Hari ni berlaku lagi banjir kilat sekitar Teluk Kemang dan Kampung Bagan Pinang. Ini sudah kali ketiga berlaku dalam tahun ini.
“Dalam pemerhatian pihak kami memang terdapat masalah berkaitan sistem saliran yang menyebabkan banjir kilat ni boleh berlaku,” katanya.
Jelas beliau beberapa saliran terdapat Lorong Yamah berdekatan Taman Kerisi, Batu 4, kawasan Kampung Bagan Pinang, saiznya dilihat terlalu kecil dan tidak dapat menampung aliran air yang lebih besar terutama bila hujan terlalu lebat.
Tambahnya, di kawasan Teluk Kemang pula salirannya tidak diselenggara dengan baik sehingga terdapat akar-akar dan tumbuhan-tumbuhan liar yang menghalang laluan air.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Port Dickson berkata demikian kepada Harakahdaily usai mengadakan tinjauan di kawasan terjejas banjir kilat tersebut, di sini sebentar tadi.
Tambah Ustaz Fatah, beberapa buah rumah juga turut dinaiki air akibat banjir kilat itu setelah hujan lebat melanda kawasan itu bermula pagi tadi.
“Saya telah mengadakan tinjauan ke kawasan-kawasan terjejas banjir yang melibatkan kawasan kampung di Teluk Kemang. Dalam rekod kita ada tujuh buah rumah dinaiki air.
“Tetapi alhamdulillah, setakat pada ketika ini kita dapat lihat banjir sudah mula surut dan kita harap semoga air tidak naik semula,” katanya.
Kata beliau lagi, pasukan Pusat Khidmat ADUN Bagan Pinang sedang memantau bencana banjir kilat itu dan akan bersedia dengan pasukan Jabatan Amal Malaysia (JAM) untuk menjalankan operasi pembersihan rumah-rumah mangsa banjir setelah banjir surut.
Namun, tambah beliau, walaupun pada waktu ini air sudah mulai surut, tetapi kerja-kerja pembersihan belum dapat dimulakan kerana bekalan air masih terputus sehingga pagi esok disebabkan loji LRA Sawah dihentikan seketika.
Untuk rekod, kawasan itu turut dilanda banjir kilat dalam kejadian pada 11 Ogos lepas waktu yang sama dengan kejadian banjir di kawasan Parlimen Masjid Tanah di Melaka. – HARAKAHDAILY 20/8/2024















