
KUALA TERENGGANU: Pegawai Agama Pejabat Menteri Besar Negeri Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek berkata, ada dua urusan penting dalam mengendalikan harta negara.
Beliau menyatakan perkara itu menerusi catatan di laman sosialnya susulan diskusi buku Khalifah Umar Al-Khattab dengan tajuk mengenai Pengurusan Perbendaharaan Negara di Pejabat Menteri Besar, pagi tadi.
Tambahnya, tajuk itu sebenarnya sangat besar, namun beliau membuat kesimpulan ringkas daripada buku itu.
“Ada dua urusan penting kendalikan harta negara, kumpul dan simpan di tempat yang sepatutnya, bahagi kepada yang berhak dan pada tempat yang betul,” jelasnya.
Beliau berkata, asalnya tempat menyimpan dan menguruskan pembahagian harta disebut Baitulmal.
Menurutnya, mungkin di zaman sekarang institusi Baitulmal menjadi agak berbeza sedikit daripada fungsi asalnya.
Namun, jelas beliau konsep yang penting dan asas dalam pengurusan harta itu ialah sifat berhemah, beramanah dan tidak zalim.
Tambahnya, Sayyidina Umar al-Khatab sangat sensitif, cermat dalam pengurusan harta negara, bak kata orang Terengganu ‘beraluh sungguh’.
Ini, ujarnya terbukti apabila Abu Hurairah membawa 500,000 dirham, sehingga Umar bertanya beberapa kali untuk memastikan jumlah itu benar.
“Dalam bahasa kita, audit dengan sangat cermat,” katanya yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Kemaman.
Beliau juga menjelaskan, Umar al-Khatab bersedia menggunakan sistem catatan harta dan kumpulan penerima yang digunakan oleh Parsi.
Ini, katanya menunjukkan setiap kebaikan daripada budaya dan tamadun lain yang bermanfaat diterima oleh Islam.
“Jika berlaku adil, rakyat suka dan sokong. Jika berlaku zalim, rakyat benci dan bangkang.
“Apa khabar royalti lima peratus wahai kerajaan Pusat untuk Terengganu?” tanya beliau. – HARAKAHDAILY 20/8/2024











