
KUALA TERENGGANU: “Antara momen yang cukup menarik perhatian dan menyentuh hati saya hari ini,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.
Menurutnya, sejurus sahaja tamat dan diumumkan sebagai pemenang pingat emas 110 meter pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 petang ini, Armin Zahryl Abd Latif terus melulu berjumpa dengan jurulatihnya, Zainuddin Yusof dengan linangan air mata serta penuh kesyukuran. (Foto atas)
Katanya, Armin terlalu rapat dan akrab dengan jurulatihnya itu umpama seorang bapa yang mendidik anaknya.
Menerusi catatan di laman sosialnya, malam in i beliau berkata tidak hairanlah, kemesraan mereka tergambar begitu erat.
“Biarlah gambar berbicara. Usai saya bertemu bersama Saudara Armin, saya diberitahu bahawa beliau diminta untuk menunaikan nazar jurulatihnya itu untuk memotong rambut.
“Kata jurulatihnya, beliau telah bernazar dari awal lagi dan nyatan janjinya jika saudara Armin dapat merangkul pingat emas, maka beliau akan memotong rambut,” ujarnya selaku bapa angkat bagi atlet olahraga Terengganu.
Menurutnya, beliau juga bertanya kenapa jurulatih itu bernazar demikian.
“Ditanya kenapa bernazar sedemikian, katanya, ‘Saya ingin menaikan semangat diri saya sendiri untuk melatih Armin supaya beliau bersungguh-sungguh berlatih. Sekali gus bila dia tengok jurulatih sanggup untuk potong rambut demi dapatkan pingat emas, maka saya harap beliau juga akan termotivasi’.

“Alhamdulillah, akhirnya impian dan harapan telah tercapai pada hari ini. Tahniah buat Saudara Armin Zahryl dan jurulatihnya, Encik Zainuddin Yusof,” ujarnya yang juga ADUN Wakaf Mempelam. – HARAKAHDAILY 20/8/2024











