
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim berharap peserta Kursus Kejurulatihan Bola Sepak akan menjadi jurulatih yang cemerlang,
Beliau menyatakan demikian susulan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Lesen D yang telah enam hari diadakan berakhir hari ini.
Katanya, beliau dijemput untuk menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Lesen D yang berlangsung di Ar-Riyadah Residence, Kompleks Sukan Gong Badak.
Turut hadir ialah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Pembangunan Jurulatih negeri, Mohd Rashdi Hamat.
Beliau turut mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada semua peserta yang telah mengorbankan masa dan wang ringgit untuk menyertai kursus itu.
“Semoga setiap langkah yang diambil oleh para peserta selepas ini akan membawa mereka lebih jauh dalam membina kerjaya sebagai jurulatih yang cemerlang, bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya pada catatan di laman Facebooknya. – HARAKAHDAILY 20/8/2024











