
IPOH: Seorang lelaki tempatan maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas di kiri jalan raya di kilometer 287.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan Ipoh, Perak pada jam 2.11 pagi, tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 42 tahun dalam perjalanan dari arah Butterworth menghala ke Kuala Lumpur.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan) oleh pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Abang Zainal turut menasihatkan masyarakat umum supaya memandu secara berhemah dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi menjamin keselamatan diri serta semua pengguna jalan raya.
Justeru, pihaknya meminta saksi yang menyaksikan kemalangan ini agar menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Muhammad Syafiq Fauze; Pegawai Penyiasat Trafik; Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di talian 013-671 3177 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – HARAKAHDAILY 19/8/2024











