‘Rumah Budi’ di Tangga Batu dalam pertimbangan LKKS

- Advertisement -

TANGGA BATU: Lajnah Kebajikan dan Kesejahteraan Sosial (LKKS) PAS Pusat akan mempertimbangkan permohonan ‘Rumah Budi’ bagi Negeri Melaka yang dipohon Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tangga Batu.

- Advertisement -

Pengerusinya, Dr Rosni Adam berkata, jika diluluskan, ia akan menjadi projek keempat bagi program tersebut melibatkan pembaikpulihan atau membina semula rumah bertujuan membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan.

“Setakat ni sudah ada tiga projek yang kita laksanakan. Yang pertama di Kedah, kedua di Selangor dan ketiga di Pahang. Rumah yang pertama dan kedua sudah siap.

“Untuk yang di Pahang itu sedang dalam proses untuk disiapkan. Bila sudah siap di Pahang kita akan pertimbang untuk Melaka pula di Parlimen Tangga Batu ni,” katanya.

Menurut beliau, kos bagi setiap projek ‘Rumah Budi’ adalah di antara RM10,000 hingga RM80,000 bergantung kepada kerja-kerja yang dilakukan sama ada berbentuk baik pulih atau pembinaan rumah baharu.

Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan lawatan ke sebuah rumah di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai, di sini, semalam bagi membuat tinjauan bagi pertimbangan untuk bantuan tersebut.

Pemilik rumah tersebut, Chu Ba Chik, 74, seorang berbangsa Cina, merupakan petani dan melakukan kerja-kerja kampung tinggal di rumah itu bersama isteri dan seorang anak lelakinya berumur 39 tahun yang mempunyai masalah kesihatan.

Jelas Dr Rosni, pihaknya akan menilai permohonan tersebut di mana dibuat melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tangga Batu untuk dibawa kepada pihak jawatankuasa yang menilai kelulusan projek tersebut.

“Hari ni saya membuat tinjauan untuk pemohon ini, Chu Ba Chik untuk membaik pulih rumah beliau yang kita lihat memang sangat uzur.

“Jadi kita akan buat kertas kerja dan penilaian. Kemudian lajnah akan membuat keputusan terhadap kelulusan ini. Ia juga bergantung kepada dana yang kita akan kutip bagi tujuan ini,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian beliau, beberapa pembaikan kemungkinan akan dibuat pada rumah tersebut antaranya siling dan juga dinding kayu yang sudah usang yang perlu diganti.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Rafie Ahmad berkata, pihaknya berharap agar LKKS Pusat dapat mempertimbangkan permohonan tersebut.

“Sebelum ini  Ahli Parlimen Tangga Batu, YB Bakri Jamaluddin sudah membuat lawatan dan beliau akui keadaan rumah ini yang agak teruk.

“Jadi beliau telah panjangkan kepada pihak Dr Rosni dan LKKS Pusat untuk permohonan. Kita harap dapat perhatian dan kelulusan daripada pihak LKKS Pusat,” katanya.

Turut hadir di dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi LKKS PAS Negeri Melaka, Mohsin Ibrahim dan Ketua Dewan Muslimat PAS Tangga Batu, Anida Haron serta Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu, Zahar Yunus. – HARAKAHDAILY 19/8/2024

- Advertisement -