Rakyat Nenggiri bersuara

- Advertisement -

KELANTAN adalah kampus politik terbuka yang mendidik dan meneladani warga Malaysia berpencak siasah. Celik mata seusai solat subuh di masjid surau, orang Kelantan menyeruput teh dan kopi di warung nasi kerabu. Mereka makan ‘berat’ bergizi kerana akan membanting tulang di sawah dan juga kebun.

- Advertisement -

Isu-isu politik dalam dan luar negara dikunyah bersama aroma nasi berlauk. Minda orang Melayu di negeri ini berkembang luas, parallel dengan ramainya warga tanah serendah sekebun bunga yang mendapat pendidikan tinggi.

Riuh geger menakir di kedai kopi tak mereka menjeruk perasaan, ukhuwah sesama warga terhaga dan asimilasi budaya mengeratkan perpaduan sesama mereka. Waktu malam pula, masjid surau menjàdi tempat pertemuan. Usai kuliah Maghrib, berjamu makan pula di serambi balai sah. Budaya inilah yang mengukuhkan hegemoni PAS selama puluhan tahun.

Namun Nenggiri mengapa sikap yang berbeza dengan konstitusi yang lain di Kelantan. Jika di DUN Kota Lama kita tak merasa pelik kerana tendensi pengundi kaum Cina terhadap PH. Ramai pencandu politik tanah air berkomentar sinis dan separuh masak tentang keputusan menang bergaya calon BN, Saudara Awie yang juga Ketua Pemuda Umno Kelantan.

Adakah kerajaan Kelantan akan rebah dalam PRU16? Adalah pengundi Nenggiri menghantar isyarat kebangkitan semula Umno? Atau pengundi tak peduli akan ratusan isu yang menjàdi beban kepada kerajaan Madani?

Nenggiri asal muasalnya adalah kubu Umno sebagaimana DUN Telemong di Terengganu sebelum PRN15. Kuatnya Umno berakar kukuh di kawasan ini sehingga lelucon politikus menyebut ‘letak tong gas pun Umno akan menang’.

Parlimen Gua Musang di bawah Ku Li selama empat dekad. Jatuh bangun Gua Musang adalah arca berdiri bagi putera raja itu. Masyarakat orang asli menyanjung Tengku Razaleigh sebagai ‘raja kito’. Berseberangan ideologi dengan sesepuh politik ini menempah tulah dan dikucilkan.

Lihat sahaja keputusan PRU 1990, Ku Li tetap menang bergaya di Gua Musang walau menentang Umno BN. Nenggiri di bawah Parlimen Gua Musang adalah deposit tetap dan dengan kawalan pengaruh Ku Li.

Nenggiri mempunyai lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) Orang Asli, terpuruk jauh di pedalaman. Paling hampir dengan bandar Gua Musang ialah KOA Tohoi, dengan jarak perjalanan selama dua jam. Pos Goeb yang berjiran dengan Kuala Mu Perak mengambil masa lama dan hanya boleh dimasuki dengan pacuan empat roda. Semua PDM Orang Asli dikawal sepenuhnya oleh JKOA.

Selama tempoh berkempen, contohnya di KOA Tohoi pelbagai acara hiburan dan makan-makan. Rasuah pilihan raya tak lagi menjàdi rahsia umum untuk pengundi mencoblos calon Umno. Kelompok Orang Asli hanya sesekali mendapat sentuhan program agama dalam setahun.

Anak-anak kecil lebih mesra dengan pentas karaoke berbanding kelas fardhu ain dan program pengukuhan akidah. Teringat penulis semasa berkempen di KOA Tohoi, sejak Maghrib sehingga larut malam, pentas karaoke menggema di seluruh perdesaan. Anak-anak muda menghafal pelbagai genre lagu, begitu ralik menghayati bait-bait lagu berbanding program yang diadakan di surau. Kondisi masyarakat begini tidak membantu mereka untuk mengundi bulan.

Tim kempen calon BN sejujurnya memaksimumkan penggunaan jentera kerajaan Persekutuan selebihnya di 15 PDM yang lain. TPM tanpa rasa bersalah melontar janji demi janji termasuk  pecahan lot tanah KESEDAR berjumlah 17,000 lot tanah. 15 PDM selain lima PDM Orang Asli adalah termasuk FELDA, FELCRA, KESEDAR, kampung-kampung tradisi Melayu yang memang mempunyai tahap politik yang sederhana.

Media sosial tak mampu mengubah tasawur politik mereka sebagaimana kawasan lain. BN yang kembar Siam dengan 3M terus mengasak segenap penjuru, malah dengan naratif gelap terhadap kerajaan Kelantan seperti isu pembalakan. Bergentayangan satu cuplikan video kenderaan ‘santaiwon’ balak yang sarat mengusung kayu getah diviralkan seolah balak-balak yang dikeluarkan daripada Nenggiri.

Juga satu isu dalaman yang perlu diperhalusi seperti cuitan Tan Sri Annuar Musa tentang ‘pengundi putih’ PAS yang tidak keluar mengundi hampir 2,000 orang. Umno berjaya membawa keluar pengundi yang 12 Ogos 2023 tidak keluar mengundi sehingga peratus pengundian meningkat sehingga hampir 72 peratus. 

Sukar untuk menelah pendirian politik warga Kelantan yang sangat rencam. Mesej politik mereka seumpama kuah budu dalam nasi kerabu. Sangat berwarna warni rekod politik Kelantan, PAS hanya menang dua kerusi dalam Pilihan Raya 1978 sehingga BN memerintah negeri yang pernah dijoloki ‘Paris Malaya’ oleh ekspatriat British.

Dr Riduan Mohamad Nor

PAS kembali merengkuh kembali kuasa pada tahun 1990 dengan landslide victory. PAS kalah dalam beberapa PRK yang mereka menang dalam PRU sebelumnya, seperti yang pernah berlaku di Pengkalan Pasir, Semerak, Galas. Semoga ada post mortem yang lebih menyeluruh untuk menelah kekalahan PN pada kali ini di Nenggiri, tiada noktah mengalah dalam perjuangan sehingga hasilnya kita tuai di hari akhirat. – HARAKAHDAILY 18/8/2024

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -