Amaran angin kencang, hujan lebat di sembilan negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan sembilan negeri sehingga 4 petang ini.

- Advertisement -

MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat iaitu Selangor di Hulu Selangor, Perlis, Pulau Pinang dan Melaka.

“Seterusnya, kawasan di Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu); dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim).

“Selain itu, kawasan di Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Raub, Kuantan, Pekan dan Rompin); dan Sarawak di Serian (Serian), Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong, Sarikei (Sarikei) dan Mukah (Tanjung Manis).

“Sementara itu, kawasan Sabah di Tawau (Kunak, Semporna dan Lahad Datu) dan Sandakan (Kinabatangan dan Sandakan),” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

MetMalaysia turut memaklumkan amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.

Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/8/2024

- Advertisement -