Jati diri anak muda sebagai benteng agama, bangsa

- Advertisement -

MUAR: Anak-anak muda Islam dan Melayu perlu mempunyai jati diri yang kuat demi mempertahankan agama dan bangsa daripada pelbagai ancaman melanda umat pada masa kini.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Abdul Aziz Talib berkata, dengan cara itu juga anak-anak muda akan dapat mempertahankan masa depan negara ini daripada dijajah semula.

“Kita mengharapkan anak-anak muda yang berada ataupun lahir selepas merdeka ini, insya-Allah kita akan disajikan dengan berbagai sejarah bagaimanakah perjuangan kemerdekaan dilalui oleh tokoh-tokoh kemerdekaan sejak zaman dahulu.

“Negara Malaysia ini adalah negara umat Islam. Negara yang dimiliki oleh orang Melayu. Walau bagaimanapun ianya dihuni oleh berbagai-bagai bangsa yang hidup rukun damai dan berdisiplin. Tidak ada perbalahan pergaduhan dan seumpamanya,” katanya.

Jelas beliau, Malaysia sudah mencapai kemerdekaan 67 tahun lalu iaitu pada tahun 31 Ogos 1957 yang mana untuk mencapainya, rakyat melihat pejuang-pejuang terdahulu telahpun melalukan sebesar-besar pengorbanan.

Selepas itu kata beliau, kemerdekaan ini diisi oleh pemimpin-pemimpin yang telahpun silih berganti sehinggalah tiba pada pemimpin ada pada hari ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Muar berkata demikian sewaktu berucap dalam Ceramah Perdana Isu Semasa yang berlangsung di PASTI Hadi, Parit Tarim, di sini, malam tadi.

“Kita melihat suasana negara yang berlaku pada hari ini dengan berbagai-bagai ancaman dan sebagainya. Jadi diharapkan supaya anak-anak muda ini diberikan ketahanan supaya dapat mempertahankan negara kita ini.

“Negara yang ada pada hari ini insya-Allah tidak akan dapat dijajah oleh bangsa lain dan seumpamanya. Inilah harapan kita supaya kemerdekaan yang ada pada hari ini insya-Allah dijaga dan diisi dengan berbagai-bagai aktiviti,” katanya.

Tambah beliau, pada waktu ini boleh dilihat bahawa bangsa dan bahasa Melayu mula terhakis termasuk tanah yang dimiliki mereka di negara ini.

“Jadi inilah yang perlu dijaga oleh semua umat Melayu, umat Islam yang ada pada hari ini dapat menjaga bersama.

“Insya-Allah mudah-mudahan kita berdoa kepada Allah SWT semoga Allah sentiasa memelihara negara kita daripada ancaman daripada negara-negara luar dan juga anasir-anasir luar,” katanya.

Turut berucap dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani  Khamis serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Roslan Nikmat. – HARAKAHDAILY 18/8/2024

- Advertisement -