‘Masih banyak medan memerlukan pengorbanan kita’

Mohamad Kamal Mohamed
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Medan dan ruang masih banyak memerlukan pengorbanan kita untuk kelangsungan perjuangan Islam,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih belaka kepada semua jentera Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Pemuda PAS Negeri Kelantan, rakan-rakan ARMADA BERSATU dan jentera Pemuda PAS kawasan-kawasan yang telah bekerja dan menjayakan jihad melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, semalam.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PN negeri juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pengundi-pengundi ‘bulan’ yang tetap istiqamah dengan kebenaran.

“Marilah kita bersabar dan beristighfar atas segalanya.

“Semoga Allah SWT menerima amalan kita semua dan mengampuni atas kesilapan sepanjang kempen PRK berlangsung,” ujarnya dalam catatan menerusi laman Facebook Pemuda PAS Kelantan.

Mohamad Kamal turut menyeru agar terus istiqamah dalam perjuangan kerana medan dan ruang masih banyak yang memerlukan pengorbanan untuk kelangsungan perjuangan Islam.

Pada PRK DUN Nenggiri semalam, calon PN, Mohd Rizwadi Ismail meraih 5,739 undi manakala calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mendapat 9,091 undi.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan peratus yang keluar mengundi ialah 73.88 peratus. – HARAKAHDAILY 18/8/2024

- Advertisement -