Tiada sebab DUN Nenggiri kembali kepada Umno

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umno telah berdekad-dekad mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan akhirnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu pengundi telah memuktamadkan perwakilan Umno kerana kecewa dan tidak lagi yakin kepada parti berkenaan.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, namun masalahnya wakil baharu yang pengundi naikkan pula bertindak mengkhianati mandat yang pengundi DUN Nenggiri berikan untuk menggantikan Umno apabila membuat keputusan menyokong blok PH-BN yang turut disertai Umno.

“Justeru adalah diyakini pengundi di DUN Nenggiri ini konsisten dan tidak sesekali akan mengubah sikap mereka dalam menolak Umno.

“Rakyat di Kuala Terengganu, Kemaman dan Sungai Bakap telah terang-terang menolak Umno dan sekutunya, mengapa pula Nenggiri perlu patah ke belakang.

“PAS-PN telah mengemukakan ‘calon rakyat’ yang diyakini dapat membela dan memperjuangkan nasib penduduk di sini termasuklah masyarakat Orang Asli, oleh itu janganlah kita terpedaya lagi,” ujar Roslan dalam media sosial miliknya hari ini.

17 Ogos ini bermakna katanya, 3 kali pengundi di DUN Nenggiri, Kelantan diberi peluang membuang undi.

Pada 19 November 2022 imbas beliau, pengundi DUN Nenggiri mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen ke-15 untuk kerusi Parlimen Gua Musang.

“Kemudian setahun lalu iaitu 12 Ogos 2023, mereka mengundi pula dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 untuk DUN Nenggiri.

“Untuk rekod pada Pilihan Raya Umum pertama tahun 1959 para pengundi di sini ketika itu dikenali Parlimen Ulu Kelantan telah mengundi Umno-Perikatan. Manakala untuk DUN yang dulu dikenali Ulu Kelantan Barat telah mengundi calon PAS.

“Namun kemudiannya dalam PRU kedua tahun 1964, Umno membolot kedua-dua Parlimen dan DUN dan kekal begitu sehingga PRU ke-14,” imbas beliau.

Imbas Roslan lagi, pada 19 November 2022, ramai terperanjat apabila para pengundi di sini buat pertama kalinya menolak calon Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang merupakan Ahli Parlimen sejak 1974 dan mengundi Perikatan Nasional.

“Begitu juga 12 Ogos 2023, rakyat menolak calon Umno Abd Aziz Yusof dan memenangkan Perikatan Nasional (PN).

“PRU Parlimen dan negeri ke-15 sesungguhnya menjadi PRU bersejarah buat penduduk di sini kerana mereka dengan berani bangkit membuat perubahan,” ujarnya.

Umno-BN katanya, dilihat banyak mengecewakan pengundi DUN Nenggiri dan seluruh umat Melayu apabila pimpinan Umno-BN mula terpalit dengan ketempangan dan kepincangan walaupun selama ini umat Melayu memberi kepercayaan pada mereka.

“Kebangkitan dan kesedaran politik umat Melayu mengakibatkan ramai calon-calon Umno kecundang hilang kerusi mereka termasuklah di sini.

“Lantas Sabtu ini setelah bertindak berani pada PRN lalu, mahukah pengundi di sini serah kembali kerusi DUN ini ke Umno?

“Sabtu ini keluar beramai-ramai, kita pakat ‘Undi Bulan’. Pertahan Nenggiri dan undi calon nombor 1,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 15/8/2024

- Advertisement -